KEADAAN rumah penduduk yang dilanda banjir kilat di Mukim Kupang, Baling, malam tadi. FOTO Safuri Kamarudin.
Safuri Kamarudin
am@hmetro.com.my


LEBIH 30 penduduk membabitkan empat keluarga di dua kampung di Mukim Kupang, Baling, terjejas selepas kediaman mereka dilanda banjir kilat, malam tadi.

Hujan selama dua jam sekitar 6 petang itu menyebabkan air Sungai Ketil melimpah ke penempatan penduduk berhampiran tebing sungai itu.

Dua kampung terjejas adalah Kampung Landak Bukit dan Kampung Chenerai.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz berkata, pihaknya menerima laporan mengenai banjir kilat itu pada 7 malam.

Beliau berkata, sepasukan anggota membuat tinjauan ke lokasi kejadian dan mendapati beberapa rumah dinaiki air sedalam 0.5 meter.

“Anggota kami menyukat paras air susulan banjir kilat di kampung terbabit bagi memastikan air tidak melebihi paras bahaya.

“Kami sudah bersiap sedia kemungkinan banjir berlaku dengan keadaan cuaca yang tidak menentu,” katanya.

Mohd Faizol berkata, tindakan dan tinjauan daripada Penghulu Mukim dan APM akan dilakukan sekiranya mendapat laporan mengenai banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 12:22 AM