Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
cnews@nstp.com.my


LEBIH 350 penduduk di dua mukim di Kuala Kangsar mendapat manfaat daripada program Media Prima Medical Outreach di Dataran Amanjaya, Sauk, hari ini.

Mereka yang datang seawal 8.30 pagi mengambil kesempatan menjalani pemeriksaan kesihatan berkaitan jantung secara percuma oleh kakitangan Institut Jantung Negara (IJN) pada program berkenaan.

Selain pemeriksaan kesihatan, aktiviti lain dalam program itu termasuk demonstrasi pertandingan memasak menu sihat, pameran kesihatan, pertandingan baju berhias bertemakan Jalur Gemilang serta pertandingan interaktif khusus untuk kanak-kanak.

Penghulu Mukim Chegar Galah, Mohamad Alias Zainal Akhir berkata, sambutan penduduk setempat terhadap program sempena sambutan Hari Malaysia peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenderoh itu, amat memberangsangkan berbanding sasaran asal sekitar 250 orang sahaja.

Beliau berkata, program julung kali diadakan itu memberi peluang kepada penduduk mukim Chegar Galah dan Kota Lama Kiri serta kawasan sekitarnya untuk mengetahui tahap kesihatan jantung serta penyakit berkaitan termasuk darah tinggi dan kencing manis.

“Kebiasaannya ramai utamakan keperluan hidup terlebih dahulu berbanding sanggup mengeluarkan wang bagi mengetahui tahap kesihatan sendiri.

“Oleh sebab itu, program sebegini dinantikan dan berharap dianjurkan lagi pada masa depan,” katanya.

Sementara itu, penduduk, Baridah Dahari, 60, berkata, program sebegitu wajar diteruskan bagi memberi peluang kepada golongan kurang berkemampuan sepertinya untuk menjalani pemeriksaan berkaitan kesihatan jantung.

“Kalau ikutkan kos untuk pemeriksaan dijalankan hari ini mencecah ratusan ringgit seorang jika dilakukan di hospital, namun syukur tiada sebarang bayaran dikenakan untuk menjalani pemeriksaan dalam program ini.

“Pengisian program bersifat santai apabila bukan hanya membabitkan golongan dewasa dan berumur, malah turut diserikan dengan pelbagai pameran, pertandingan, serta permainan untuk kanak-kanak,” katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Tanggungjawab Sosial Korporat, Derma dan Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima Berhad (MPB), Muhammad Nazim Ismail berkata, Sauk menjadi lokasi pertama penganjuran program dua hari yang dibuat secara konvoi itu sebelum perjalanan diteruskan ke Dewan Tun Abdul Razak, Baling, Kedah untuk program serupa, esok.

Beliau berkata, menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) anjuran bersama IJN dengan Briged Sukarelawan Media Prima-New Straits Times Press (NSTP) (Briged Sukarelawan) serta Adabi Consumer Industries Sdn Bhd (ADABI) itu, Sauk dipilih kerana faktor geografinya yang agak jauh dari bandar utama.

“Selain pemeriksaan kesihatan percuma, pihak IJN turut mengeluarkan surat susulan untuk merujuk kes mereka yang menjalani pemeriksaan kesihatan dalam program ini ke klinik berdekatan sekiranya perlu,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Kanan Komunikasi Korporat IJN, Aina Jamil, berkata sebanyak 10 kaunter dibuka meliputi lapan kaunter pemeriksaan untuk dewasa, dua kaunter kanak-kanak serta satu kaunter berhenti merokok yang membabitkan 65 sukarelawan.

Beliau berkata, program kolaborasi antara IJN bersama MPB itu memasuki tahun keenam sejak 2013 yang membabitkan program berkaitan kesedaran kesihatan di lapan lokasi sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 September 2019 @ 9:53 PM
AINA (kanan) memerhatikan Juruteknik Kardiovaskular IJN, Mohd Najmi (dua kanan) memeriksa kesihatan jantung orang ramai di Dataran Amanjaya, Sauk, Kuala Kangsar, hari ini. FOTO Muhaizan Yahya.