GAMBAR hiasan.
BERNAMA

AKTA Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) boleh dikenakan terhadap mereka yang terbabit dengan sindiket pengeluaran dan penjualan sijil kelahiran serta kad pengenalan kepada warga asing, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata, tindakan sekeras-kerasnya boleh diambil terhadap pegawai kerajaan, rakyat Malaysia atau warga asing terbabit dalam sindiket memberi kesan serius kepada keselamatan negara itu.

“Sindiket ini memberi kesan kepada keselamatan negara yang amat serius. Oleh itu, SOSMA boleh digunakan sekiranya mereka terbabit.

“Pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen membantu serta memberi kerjasama sepenuhnya untuk mengesan kes lama,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Abdul Hamid berkata, setakat ini siasatan mendapati motif sindiket dan individu terbabit hanyalah untuk mencari keuntungan kewangan haram.

Ditanya mengenai penubuhan pasukan petugas khas bagi menyiasat kes itu, beliau berkata, pasukan petugas berkenaan ditubuhkan pada Ogos dan diketuai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed.

“Dalam pasukan petugas khas ini, kami ada Tim Khas JSJ, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial dan Cawangan Khas Bukit Aman yang melapor terus kepada saya.

“Tim ini dibantu pegawai dari Jabatan Imigresen dan JPN sendiri bagi menghalusi dan mengesan semua pengeluaran laporan polis, sijil lahir, kad pengenalan dan pasport yang dibuat secara penipuan,” katanya.

Abdul Hamid berkata, siasatan sindiket kes berkenaan dijalankan di Pulau Pinang pada Julai lepas oleh Ketua Polis Negeri.

“Tetapi apabila dinilai tahap keseriusan kes ini, maka tim siasatan Bukit Aman ditubuhkan dan mengambil alih siasatan kes terbabit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pelbagai bahagian daripada jabatan itu akan terbabit dalam pasukan petugas khas itu, bergantung kepada keperluan siasatan.

“Pegawai Imigresen akan sertai pasukan petugas khas ini sebagai anggota dan kami akan memberi kerjasama sepenuhnya dalam pasukan petugas ini,” katanya.

Hari ini, Huzir berkata pasukan petugas berkenaan terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), JPN dan Jabatan Imigresen dan pembentukan pasukan itu mendapat persetujuan daripada Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Alwi Ibrahim.

Pada 19 September lalu, polis menahan 20 individu termasuk seorang pegawai JPN yang disyaki terbabit dengan aktiviti pengeluaran sijil kelahiran dan kad pengenalan secara tidak sah.

Mereka yang ditahan di Pulau Pinang itu terdiri daripada 15 lelaki dan dua wanita tempatan, seorang lelaki dan seorang wanita warga China serta seorang lelaki warga India.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 September 2019 @ 8:30 PM