DATUK Mohd Yusop Husin (dua dari kiri) merasmikan program Konvensyen Rahmah Negeri Perak Darul Ridzuan, di Dewan Saidina Abu Bakar, Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM).
Balqis Jazimah Zahari
am@hmetro.com.my


JABATAN Agama Islam Perak (JAIPk) menukar kontraktor makanan Sekolah Menengah Raja Dr Nazrin Shah (SARJANA) di Kampung Gajah, Ipoh, berikutan kes keracunan makanan pada 13 September lalu.

Pengarahnya, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, tindakan berkenaan dibuat selepas pihaknya menerima laporan mengenai kes berkenaan daripada Pejabat Kesihatan Daerah Perak Tengah semalam.

“Kita sudah melantik kontraktor makanan lain yang disyorkan sendiri oleh Pejabat Kesihatan Daerah (Perak Tengah).

“Kita menerima laporan berkenaan kes keracunan itu semalam dan kita membuat langkah awal dengan menggantikan kontraktor makanan berkenaan,” katanya pada sidang media ketika hadir sebagai panel ketika program Konvensyen Rahmah Negeri Perak Darul Ridzuan di Dewan Saidina Abu Bakar, Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM), hari ini.

Mohd Yusop berkata, buat masa ini pihaknya menggantung kontrak makanan kontraktor terbabit yang mana tempoh kontraknya juga sudah hampir tamat.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan bilangan pelajar terbabit dengan keracunan makanan.

Difahamkan, Pejabat Kesihatan Daerah Perak Tengah melakukan siasatan di sekolah berkenaan pada 17 September lalu sebelum mengeluarkan notis penutupan terhadap dewan makan asrama berkuat kuasa jam 3 petang, 18 September lalu.

Jabatan Kesihatan Negeri Perak tidak memberikan sebarang respon ketika ditanya media mengenai kes berkenaan dalam kumpulan WhatsApp pada 19 September lalu.

Sementara itu, pelajar tingkatan dua sekolah berkenaan berkata, dia makan roti yang disalut lepa susu atau mentega sebelum pulang ke rumah pada sebelah petangnya.

“Perut saya rasa memulas pada sebelah petang dan menjelang malam semakin kerap ke tandas, mengalami cirit-birit dan demam keesokan harinya.

“Pada mulanya ingat saya seorang saja yang mengalami sakit seperti itu tetapi apabila ditanya rakan lain melalui WhatsApp, rupa-rupanya ramai daripada mereka mengalami masalah sama termasuk seorang rakan terpaksa dirawat ke hospital,” katanya ketika dihubungi.

Dalam perkembangan lain, Mohd Yusop berkata, JAIPk sudah menggantung antara lima hingga enam jawatankuasa masjid di negeri ini susulan siasatan kes masjid dan surau yang digunakan untuk berpolitik sebelum ini.

“Semuanya dalam tindakan, ada yang digantung dan tindakan disiplin juga sudah dilakukan. Ada lima hingga enam masjid terbabit antaranya di Teluk Intan, Taiping dan beberapa lagi yang lain,” katanya.

Sebelum ini, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan semua pemimpin politik di negeri ini mengadap baginda berikutan pendedahan beberapa masjid dan surau digunakan untuk berpolitik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 September 2019 @ 5:09 PM