ANTARA penduduk terjejas menumpang di bawah khemah. FOTO Arkib NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my


NASIB 254 penduduk terjejas akibat perobohan rumah berhampiran Sungai Kedondong di Paya Jaras Hilir dekat Sungai Buloh, masih samar, selepas pusat penempatan sementara yang diduduki kini akan ditutup sepenuhnya Isnin depan.

Pengerusi Ahli Jawatankuasa Bertindak Penduduk Paya Jaras Hilir, Azroy Abdul Manaf berkata, pihaknya kini sedang giat menjalankan bancian untuk mengetahui jumlah rumah sewa sementara yang diperlukan penduduk.

Menurutnya, sebahagian penduduk sudah mendapat rumah sewa sementara dan dalam proses pemindahan manakala ada beberapa lagi yang masih mencari penempatan baru.

“Rumah sekitar kawasan ini disewa dalam anggaran RM800 sebulan dan bagi penduduk untuk menyediakan deposit sewaan dalam tempoh singkat sudah pasti membebankan.

“Tapak penempatan sementara hanya mempunyai khemah dan ia akan dikosongkan Isnin depan kerana mereka hanya menumpang atas ihsan pemilik tanah berkenaan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, Lembaga Zakat Selangor (LZS) juga sudah membuat bancian dan berjanji untuk menyalurkan apa saja bantuan khususnya sewaan rumah kepada penduduk yang layak.

Katanya, bantuan lain juga tetap akan dihulurkan LZS berdasarkan kelayakan penduduk selain penduduk turut menerima sumbangan wang tunai daripada orang awam.

“Wang sumbangan orang awam akan diberikan sama rata kepada penduduk yang terjejas supaya dapat meringankan beban mereka khususnya untuk membayar deposit rumah sewa,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah mendapatkan daripada LZS untuk membantu penduduk yang terjejas.

“LZS sudah turun pada semalam untuk bantu penduduk dapatkan penempatan baru dan kita berharap mereka akan menerima bantuan yang ditawarkan,” katanya.

Operasi perobohan dilakukan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Petaling membabitkan 55 rumah yang dibina atas tanah rizab sungai bagi memberi laluan projek pelebaran Sungai Kedondong bagi mengatasi masalah banjir kilat.

Berita berkaitan:

  • Tak peduli kenapa roboh, kami tetap bantu' - LZS
  • 'Kami semua bukan itik'
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 September 2019 @ 3:32 PM