SHAH ALAM 21 SEPTEMBER 2019. Pemandangan di bandar Shah Alam kelihatan berjerebu dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 115 pada tahap tidak sihat pukul 10 pagi. NSTP/ASYRAF HAMZAH.
Nur Lela Zulkipli
nurlela@hmetro.com.my


JUMLAH pesakit asma menunjukkan peningkatan sebanyak 25 peratus di Selangor susulan daripada pencemaran jerebu yang melanda ibu negara sejak minggu lalu.

Selain itu, infeksi pada mata atau konjunktivitis menunjukkan peningkatan sebanyak 3 peratus, manakala penyakit saluran pernafasan seperti ‘upper respiratory infection’ pula menunjukkan kenaikan sebanyak 3.5 peratus.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata, bagaimanapun peningkatan berkenaan tidak ketara berikutan masyarakat bersedia dan mengetahui perlindungan yang disarankan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Jabatan Kesihatan Selangor akan terus memantau dan memastikan bekalan ubat adalah mencukupi.

“Bagaimanapun, kita tidak mempunyai data untuk klinik swasta hanya dari hospital dan klinik kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Negeri Selangor, di Shah Alam, hari ini.

Turut hadir Ketua Perkhidmatan Transfusi Selangor, Dr Nafishah Ahmad dan Pengarah Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, Datin Paduka Dr Hasni Hanapi.

Dalam pada itu, Khalid berkata, biarpun indeks pencemaran udara (IPU) di negeri ini semakin pulih, namun pihaknya menasihatkan supaya penduduk kurangkan aktiviti di luar rumah.

“Selagi kualiti udara belum pulih sepenuhnya, masih terdapat risiko kesihatan kepada penduduk.

“Jadi, orang ramai dinasihatkan supaya menggunakan penutup hidung dan mulut selain mengurangkan aktiviti luar,” katanya.

Berdasarkan laman web Jabatan Alam Sekitar setakat 1 tengah hari tadi, bacaan IPU enam stesen berada di paras tidak sihat iaitu di Johan Setia adalah 154, Petaling Jaya (145), Shah Alam (125), Banting (118), Klang (103) dan Kuala Selangor (87).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

Lagi berita berkaitan Ancaman Jerebu

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 September 2019 @ 1:45 PM