ANTARA kawasan Kampung Baru yang akan di naik taraf Perbadanan Kampung Baru. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Faliq Lajim
faliq.lajim@nstp.com.my


KERAJAAN memperkenalkan empat tawaran untuk dipilih sendiri oleh setiap pemilik dan pewaris tanah di Kampung Baru.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, tawaran itu ialah pulangan tunai; pulangan unit siap; kombinasi pulangan tunai dan unit siap; dan pulangan pemegang saham dalam syarikat tujuan khas (SPV).

Menurutnya, tawaran terbabit adalah berdasarkan lot tanah dan bukannya dalam setiap pemilik yang berdaftar.

“Kerajaan menawarkan untuk membeli tanah di Kampung Baru pada kadar RM850 satu kaki persegi. Kadar itu adalah kadar tertinggi dinilai oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH)

“Ia turut mengambil kira faktor mengekalkan syarat kepentingan pemilikan oleh orang Melayu sahaja.

“Penilaian juga dibuat berdasarkan transaksi-transaksi jualan oleh lot tanah di Kampung Baru terdahulu,” katanya dalam sesi Townhall bersama pemilik tanah di Kampung Baru di Dewan Perdana FELDA, Jalan Maktab, Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun.


MENTERI Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad melihat model pembangunan Kampung Baru selepas Majlis Town Hall bersama Menteri Wilayah, di Dewan Perdana Felda. Turut kelihatan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Rina Harun (dua dari kiri) serta Pengarah Arkitek, Veritas Design Group, Azril Amir Jaafar (kanan). FOTO Mohd Yusni Ariffin

Menurutnya, selain nilai harga tanah, apa-apa struktur atau bangunan di atas pemilik dan pewaris juga turut akan dinilai bagi tujuan pulangan kepada mereka.

“Oleh itu, jumlah pulangan yang bakal diterima oleh pemilik dan pewaris tanah di Kampung Baru adalah jumlah harga tanah ditambah dengan jumlah nilaian struktur di atas tanah terbabit,” katanya.

Dalam pada itu, Khalid berkata, pihaknya melalui Pembangunan Kampung Baru optimis dalam melaksanakan pembangunan semula di situ.

“Matlamat pembukaan kampung ini untuk menambah bilangan orang Melayu di tengah Kuala Lumpur dahulu, akan diperkasakan lagi sekarang melalui rancangan pembinaan perumahan mampu milik.

“Sebanyak 45 ribu unit kediaman pelbagai jenis akan dibangunkan khususnya kepada orang Melayu.

“Dijangka melalui pembinaan lot kediaman yang dirancang ini akan membolehkan bilangan orang Melayu bertambah di dalam kawasan terbabit berbanding sekarang yang dimonopoli oleh warga asing.

“Hasil pembangunan semula Kampung Baru ini seterusnya dapat mengembangkan lagi pemilikan hartanah orang Melayu di kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur,” katanya.

Khalid berkata, kerajaan akan memastikan keseimbangan di antara memaksimumkan potensi pembangunan dengan memelihara dan menjaga kepentingan orang Melayu di kawasan terbabit.

“Oleh itu, konsep pembangunan semula Kampung Baru amat menekankan elemennya islamik, seni dan budaya Melayu melalui penyediaan Taman Warisan Kampung Baru dan seni binanya.

“Pembangunan semula Kampung Baru akan menjadi lambang kemegahan orang Melayu di tengah kota Kuala Lumpur pada masa akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 September 2019 @ 11:53 AM