ANTARA GRO yang ditahan. FOTO Ihsan JIM
Hamzah Osman
am@hmetro.com.my


TIGA PULUH pelayan pelanggan (GRO) warga Thailand dan Laos ditahan Jabatan Imigresen Kedah, dalam Ops Bersepadu di dua premis hiburan sekitar Pulau Langkawi.

Turut ditahan dalam operasi mulai jam 9 dan berakhir 10.30 malam kelmarin itu ialah seorang lelaki warga Thailand.

Pengarah Imigresen negeri Zuhair Jamaludin berkata, seramai 13 anggota terbabit dalam serbuan di dua premis hiburan sekitar pulau itu, selepas membuat risikan.

“Keseluruhannya seramai 67 individu sudah diperiksa terdiri dari pelbagai warga negara.

“Daripada jumlah itu seramai 31 telah ditahan membabitkan 29 wanita dan seorang lelaki warga Thailand, selain seorang wanita Laos,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zuhair berkata, semua wanita yang ditahan dalam serbuan itu berusia di antara 19 dan 48 tahun dipercayai berkerja sebagai GRO di dua pusat hiburan terbabit.

“Pemeriksaan mendapati kedua-dua premis pusat hiburan itu turut dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau kehadiran pihak berkuasa.

“Mereka kemudian ditahan di lokap Bangunan Kementerian Dalam Negeri, Alor Setar untuk siasatan lanjut, sebelum dibawa ke Depoh Imigresen Belantik, Sik Kedah,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mereka melakukan kesalahan mengikut Perkara 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar Syarat Pas Lawatan dengan bekerja secara tidak sah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 September 2019 @ 9:54 AM