ANTARA warga asing yang ditahan dalam operasi berkenaan.
Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@nstp.com.my


JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) Perak menahan seramai 45 wanita warga Vietnam yang dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) di sebuah pusat karaoke di Seri Manjung, di Lumut, malam tadi.

Operasi bersepadu selama dua jam bermula 12.30 tengah malam itu membabitkan seramai 41 pegawai dan anggota JIM Perak.

Pengarah JIM Perak, Kamalludin Ismail berkata, serbuan dijalankan JIM itu adalah hasil daripada maklumat awam dan risikan yang dijalankan selama dua minggu oleh pegawai dan anggotanya.

“JIM berjaya menahan 45 wanita warga Vietnam yang dipercayai bekerja sebagai GRO dan turut ditahan seorang majikan dan lima pekerja warga tempatan.

“Kesemua yang ditahan berusia antara 20 hingga 35 tahun dan ketika serbuan GRO berkenaan sedang asyik melayan pelanggan tanpa menyedari kehadiran penguat kuasa,” katanya ketika ditemui media.

Kamalludin berkata, siasatan awal mendapati premis yang sudah beroperasi lebih setahun itu dipercayai menjadi tumpuan lelaki warga tempatan untuk mendapatkan layanan GRO.

Katanya, dalam operasi dijalankan itu, pihaknya berhadapan dengan pelbagai macam alasan diberikan pelanggan antaranya mengaku GRO berkenaan sebagai teman wanita, isteri dan sebagainya.

“Pegawai dan anggota JIM terpaksa menahan seorang lelaki berusia 40-an yang bertindak agresif dengan menghalang tugas penjawat awam dan siasatan lanjut akan dijalankan terhadapnya.

“Kesemua mereka yang ditahan kini disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan siasatan mendapati mereka melakukan kesalahan antaranya tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, melanggar syarat pas lawatan dan tinggal lebih masa di negara ini,” katanya.

Menurut Kamalludin berkata, majikan dan pekerja yang ditahan boleh didakwa kerana melindungi dan menggaji warga asing tanpa pas kerja yang sah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 September 2019 @ 9:04 AM