FOTO hiasan
Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


POLIS berjaya menahan seorang lelaki warga India yang didapati menggunakan MyKad diperoleh secara tidak sah.

Menurut sumber, lelaki berusia 20-an terbabit ditahan di sebuah rumah di Nibong Tebal, semalam, susulan risikan dan maklumat diperoleh polis.

“Dalam serbuan ini, kita turut merampas beberapa dokumen daripada Jabatan Pendaftaran Malaysia (JPN), pasport dan telefon bimbit,” katanya.

Dalam pada itu, selain tangkapan lelaki warga India berkenaan, polis masih memburu empat individu sepanjang Op Biru Fasa Kedua kali ini.

Mereka terdiri daripada seorang wanita masih berkhidmat di JPN di sebuah negeri, dua lelaki bekas kakitangan JPN dan seorang lelaki bergelar Datuk.

Sumber berkata, hasil siasatan mendapati, lelaki bergelar Datuk berusia 50-an menjadi orang tengah bagi memudahkan suspek mendapatkan MyKad berkenaan.

“Setakat ini, suspek mengaku memperoleh MyKad secara tidak sah itu melalui individu tidak dikenali,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengulas mengenai fasa kedua operasi dilancarkan Selasa lalu bagi mengesan sindiket penjualan MyKad.

Dalam kejadian 12 September lalu, enam lelaki termasuk seorang bergelar Datuk dan seorang Penolong Pengarah JPN berdepan 32 pertuduhan menjual MyKad sah kepada warga asing.

Fasa pertama Ops Biru berjaya menahan 20 individu susulan pembongkaran seorang warga China yang cuba memohon pasport menggunakan MyKad sah di Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang pada 16 Mei lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 September 2019 @ 12:58 AM