DR Mohd Yusof (kiri) beramah mesra dengan peserta kursus latihan dakwah. FOTO Rosdan Wahid.
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my


PERTUBUHAN Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) meningkatkan program dakwah, dialog dan kaunseling dalam usaha mendekati masyarakat terutama anak muda.

Setiausaha Agung Kehormatnya, Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor berkata, semua pendakwah PERKIM akan diberi pendedahan dan ilmu pengetahuan secukupnya supaya dapat mampu mendampingi golongan itu.

Ini kerana katanya, pemikiran dan corak kehidupan belia kini lebih berkonsep ‘universal’ dan bebas daripada sebarang ikatan budaya mahupun tradisi kaum dan agama.

“Untuk itu kita melengkapkan pendakwah kita dengan kefahaman yang secukupnya, khususnya terhadap fahaman ateisme (aliran yang menafikan kewujudan Tuhan) dan murtad.

“Juga untuk dekati bukan Muslim supaya mendalami Islam. Kita menggariskan beberapa aktiviti kepada saudara baru serta lawatan ke masjid yang menjadi tumpuan pelancong asing, selain turut mengedar lebih sejuta risalah di beberapa tempat tumpuan.

“Cara yang kita buat adalah mahu mereka mengenali Islam dengan lebih dekat, tidak mahu menyusahkan mereka untuk memahami Islam,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kursus Latihan Da’wah Cadre (DCT) 2019 di Bangunan Balai Islam PERKIM, Kuala Lumpur, hari ini.

Seramai 60 peserta membabitkan penuntut institut pengajian tinggi (IPT), profesional dan individu menyertai kursus berkenaan selama empat sesi.

Mengulas kursus itu, Mohd Yusof berkata, ia diadakan untuk melengkapkan diri pendakwah dengan ilmu sewajarnya.

“Ia dapat menimbulkan kesedaran dakwah kepada orang bukan Islam dan sesama Islam sekali gus memberikan pendedahan ilmu asas perbandingan agama dan cara berdakwah.

“Pendakwah berpeluang mendalami teknik, strategi dan kemahiran berdakwah kepada golongan belum Islam, ateis, murtad, misionari Kristian, mualaf serta sesama orang Islam.

“Kursus ini bukan saja dapat melahirkan ramai pendakwah yang efektif dan efisyen malah membanteras gejala serta musibah itu dengan cara yang berhikmah dan berkesan,” katanya.

Sebanyak lima kertas kerja dibentangkan dalam kursus berkenaan antaranya, sesi pengenalan dan dakwah yang berkesan, panduan untuk mengendalikan penyimpang Islam dan kenapa Islam sejuk dan tenang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 10:02 PM