SENJATA api yang dirampas dalam kejadian berbalas tembak di Batu Arang. FOTO SUPIAN AHMAD
Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


SATU inkues akan dijalankan bagi menyiasat kematian tiga lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes samun bersenjata yang maut dalam kejadian berbalas tembak, Sabtu lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, inkues akan dilakukan secepat mungkin memandangkan ramai yang memberi pelbagai kenyataan salah mengenai kejadian itu.

“Kita tidak akan menyembunyikan apa-apa maklumat dan menyerahkan kepada inkues untuk membuat keputusan.

“Inkues akan dijalankan segera kerana tiada apa yang nak disembunyikan... biar inkues tentukan,” katanya ketika sidang media di Balai Polis Bayan Baru.

Menurutnya, beliau yakin pegawainya menjalankan tugas mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketika operasi Sabtu lalu.

Dalam kejadian di Batu Arang, Rawang, Selangor, Sabtu lalu, tiga lelaki maut selepas berbalas tembak dengan polis.

Dua daripada mereka disahkan sebagai ahli kumpulan kongsi gelap 08.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 9:37 PM