DR Mahathir dan Dr Siti Hasmah dan sebahagian ahli NGO seni tempatan menunjukkan Piagam Warisan & Budaya Tanah Air. FOTO Aizuddin Saad.
Idris Musa
idris@hmetro.com.my


NILAI yang baik bukanlah penghalang kepada usaha mengejar pemodenan, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Malah menurutnya, ia mampu memastikan seseorang itu berjaya ketika berpegang kepada nilai, adat dan budaya.

“Amalan daripada budaya dan adat resam yang turun-temurun kita hayati itu telah merentas zaman.

“Ramai umat bangsa kita yang berjaya adalah dalam kalangan mereka yang berpegang teguh kepada amalan itu,” katanya ketika berucap pada pelancaran Piagam Warisan dan Budaya Tanah Air di Muzium Kesenian Islam di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, isteri beliau Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Pengasas Yayasan Albukhary Tan Sri Syed Mokhtar Al- Bukhari dan Pengerusi Yayasan Budi Tan Sri Dr Rais Yatim.

Dr Mahathir berkata berkata, banyak aspek cara hidup lampau dan kini, diketepikan oleh bangsa dunia, yang mengakibatkan terlalu sedikit amalan murni yang membina tamadun dapat dilalui atau dijadikan amalan.

“Sering terdengar rungutan bahawa generasi masa kini terlalu terbawa-bawa dengan teknologi dan modenisasi sehingga nilai kemanusiaan, adat dan budaya terpinggir.

“Akibatnya, hadir dalam kalangan kita terlalu banyak amalan yang kasar, tidak beradab dan keluar daripada batasan agama.

“Kita sebenarnya membenar diri kita terperangkap dalam menangani arus kemajuan era digital dan automasi kini. Kita seolah-olah tidak berupaya untuk menerap nilai yang baik apabila kita terpaksa mengejar pemodenan itu kerana ia tidak menunggu sesiapa dan yang lambat akan terkesamping,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menekankan, pengajian sejarah terutama yang berkaitan arkeologi dan kajian zaman sebagai amat penting diteliti secara empirikal, tersusun dan berasaskan penyelidikan saintifik.

Katanya, dalam konteks itu, kepentingan ilmu sejarah berasaskan fakta yang tidak bias atau berat sebelah perlu diutamakan.

“Kita tidak seharusnya menurut apa orang lain kata terhadap kesan, nilai dan takrif mengenai sejarah kita,” katanya.

Menurutnya, kekurangan kajian arkeologi ketika ini, seharusnya mendapat perhatian pihak swasta agar lebih banyak universiti menawarkan pengajian bidang itu bagi merungkai misteri abad permulaan seperti di Kelantan, Perak, Sabah dan Sarawak.

Terdahulu, beliau melancarkan piagam itu yang dibuat sebagai satu kesedaran dan kelestarian rakyat untuk memelihara kepentingan rakyat dalam bidang warisan serta budaya yang digerakkan badan bukan kerajaan (NGO).

Yayasan Albukhary memberi peruntukan permulaan sejumlah RM15 juta melalui operasi dan kendalian Yayasan Budi bagi pelbagai program dan promosi berkaitan warisan dan budaya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 7:32 PM