DR Zakir Naik
Irwan Shafrizan Ismail
irwansha@nstp.com.my


MENTERI Luar, Datuk Saifuddin Abdullah menempelak tindakan pihak tertentu yang meragui fakta dan kebenaran kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkenaan penceramah antarabangsa, Dr Zakir Naik baru-baru ini.

Beliau berkata, komen tidak mesra di pelbagai platform media sosial dan saluran bukan sahaja sinikal dan mengelirukan, bahkan jauh dari kebenaran serta tidak sepatutnya dibuat.

“Perdana Menteri sememangnya dengan benar dan menyatakan fakta mengenai apa yang berlaku ketika pertemuan beliau bersama Perdana Menteri India, Narendra Modi di Vladivastok, Russia, 5 September lalu.

“Saya memberi jaminan kepada kebenaran ini kerana saya secara peribadi turut berada dalam pertemuan dua pemimpin itu. Bagaimanapun, rakan sejawatan saya, Menteri Luar Negeri India tiada ketika itu,” katanya dalam kenyataan media di Putrajaya, hari ini.

Berikutan itu, beliau menggesa pihak terbabit tidak terus membuat spekulasi dan dakwaan tidak berasas.

“Malaysia dan India mempunyai hubungan kukuh dan komprehensif sejak lebih enam dekad.

“Malah hubungan utuh ini juga saling menguntungkan rakyat kedua-dua negara,” katanya.

Rabu lalu, Dr Mahathir berkata, Perdana Menteri India, Narendra Modi tidak membangkitkan permintaan supaya pendakwah antarabangsa, Dr Zakir Naik dihantar pulang ke negara asalnya.

Perdana Menteri menegaskan dalam pertemuannya dengan Modi, baru-baru ini, rakan sejawatnya itu hanya menyebut mengenai Zakir, tetapi tidak meminta individu berkenaan dihantar pulang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 7:30 PM