VAN dan rokok yang dirampas. FOTO Ihsan Polis.
Khairul Najib Asarulah Khan
khairul.najib@nstp.com.my


BERPURA-PURA disamun tapi sebenarnya dialah perancang yang melarikan van sarat rokok RM90,000 di hadapan kedai runcit di Jalan Rampai Niaga 3, Rampai Business Park, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Tindakan itu bagaimanapun terbongkar selepas siasatan awal polis mendapati wujud keraguan dalam laporan yang dibuatnya.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, dalam kejadian 10.50 pagi, 17 September lalu, suspek berumur 29 tahun memandu van milik syarikat rokok tempatnya bekerja, mendakwa disamun di kawasan berkenaan.

Katanya, suspek mendakwa enam lelaki menyamunnya sambil membawa sebilah parang dan cota besi sebelum van itu dilarikan bersama stok rokok.

“Ketika kejadian itu, dia mendakwa sedang berhenti di tepi jalan terbabit untuk menghantar stok rokok ke kedai runcit berhampiran.

“Semakan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdekatan lokasi mendapati dia dihampiri dua lelaki yang menaiki motosikal dan seorang daripada lelaki itu menolaknya.

“Dia dilihat tidak melawan dan membiarkan van majikannya dilarikan mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rajab Ahad berkata, pihaknya menyedari kenyataan suspek meragukan dan siasatan lanjut dilakukan hingga membawa kepada pendedahan rancangan sebenar suspek bersama dua rakannya.

“Susulan itu, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah IPD Wangsa Maju dan Bahagian Siasatan Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur melakukan serbuan di sebuah rumah di Taman Sri Sinar, Segambut.

“Dalam serbuan itu, lima lelaki berusia 27 tahun hingga 36 tahun yang disyaki terbabit rancangan samun berkenaan ditahan. Van dan barangan yang disamun turut ditemui,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek ditahan reman enam hari sehingga Isnin untuk siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan bersenjata dan Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 6:44 PM