PERANGKAP yang dipasang untuk menangkap harimau kumbang yang berkeliaran di Taman Harmoni. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


“HARIMAU kumbang itu muncul di depan rumah saya dan berkeliaran selama 30 minit sebelum menghilang,” kata Mohamad Razali, 57, penduduk Taman Harmoni, Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS), Dungun, yang terserempak dengan haiwan pemangsa itu pada 18 September lalu.

Dia mendakwa melihat harimau kumbang itu di depan kediamannya kira-kira jam 10 malam.

Kemunculan harimau kumbang itu dikatakan membimbangkan penduduk sejak dua minggu lalu.

Menurut Mohamad, haiwan liar itu dipercayai datang dari kawasan hutan tebal yang terletak kira-kira 200 meter dari taman perumahan berkenaan.

Katanya, walaupun harimau itu tidak mengganggu sesiapa, penduduk tetap berwaspada dan tidak berani keluar pada waktu malam.

“Harimau terbabit tidak pernah kelihatan muncul pada waktu siang mungkin binatang itu takut berdepan dengan manusia.

“Perkara itu membuatkan saya dan keluarga sentiasa berhati-hati dan mengelak daripada keluar pada waktu malam sebagai langkah keselamatan,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Sementara itu, penduduk, Che Rosnah Awang Teh, 72, mendakwa jirannya melihat kelibat harimau terbabit berdekatan kawasan hutan, 18 September lalu.

“Jiran nampak kelibat yang bergerak di kawasan hutan dan sebaik menyuluh menggunakan lampu dia terperanjat apabila mendapati ia seekor harimau.

“Malah, sejak seminggu lalu kucing terbiar di sekitar kediaman saya tidak kelihatan selepas kemunculan harimau terbabit.

“Sebelum ini saya sering memberi makan sekitar 20 kucing terbiar di sekitar rumah tetapi kini saya tidak tahu ke mana semua kucing terbabit menghilang,” katanya.

Menurutnya, penduduk sudah membuat aduan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), minggu lalu.

Katanya, agensi terbabit mengambil tindakan meletakkan perangkap di lokasi dipercayai menjadi laluan haiwan terbabit di kawasan hutan berkenaan.

“Sehingga hari ini, haiwan liar itu masih belum masuk perangkap dan kita berharap ia segera ditangkap bagi menghilangkan kerisauan penduduk, “katanya.

Sebelum itu, media tempatan melaporkan penduduk di taman perumahan itu kerana sering melihat harimau kumbang di sekitar rumah mereka sejak dua minggu lalu.

Pada 19 Julai lalu, seekor harimau daripada spesies Malaya yang dianggarkan seberat 130 kilogram berjaya ditangkap selepas ditembak menggunakan ubat pelali di Kampung Besul Lama yang terletak kira-kira 15 kilometer dari Taman Harmoni.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 6:34 PM