GAMBAR hiasan
Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


HARGA runcit petrol RON97 naik 14 sen pada harga RM2.67 seliter manakala, RON95 dan diesel kekal masing-masing pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter berkuat kuasa tengah malam ini.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini berkata, harga bahan api berkenaan ditetapkan bagi tempoh 21 hingga 27 September ini berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

Menurutnya, berdasarkan pengiraan di bawah formula APM, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh yang sama masing-masing adalah sebanyak RM2.37 seliter dan RM2.32 seliter masing-masing.

“Ini menunjukkan penurunan dari minggu lalu bagi harga runcit produk petrol RON95 yang berada pada paras RM2.23 seliter dan kenaikan bagi harga runcit produk diesel yang berada pada paras RM2.29 seliter.

“Namun, harga runcit bagi kedua-dua produk dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan menjaga kesejahteraan ekonomi rakyat,” katanya.

Katanya, kenaikan harga minyak dunia dipercayai ekoran kejadian serangan terhadap dua loji minyak di Arab Saudi pada 14 September lalu yang menjejaskan pengeluaraan pengeksportan minyak negara tersebut.

Bagaimanapun, selaras dengan kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 15 September lalu, kerajaan akan terus memberi subsidi bagi mengimbangi kenaikan harga minyak berikutan kejadian tersebut.

Menerusi pengekalan harga runcit bagi kedua-dua produk itu, anggaran subsidi yang perlu ditanggung oleh kerajaan dalam tempoh 21 hingga 27 September berjumlah RM123.16 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 5:07 PM