Gambar hiasan
Ibrahim Isa
ibrahim@hmetro.com.my


SURI rumah warga Vietnam cedera di tapak tangan kanan dan lutut kirinya selepas terjatuh ketika diragut dua seorang lelaki dalam kejadian di Jalan Nusa Jaya Mas 2/3, Taman Nusa Jaya Mas di Johor Bahru semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, mangsa berusia 30 tahun itu dalam perjalanan untuk menghantar anak perempuannya berusia lima tahun ke sekolah di kawasan berhampiran kira-kira 8 pagi.

“Tiba-tiba, mangsa dihampiri serbuah motosikal Honda EX5 yang ditunggang seorang lelaki bersama seorang pembonceng.

“Pembonceng motosikal itu turun dari kenderaannya dan terus menarik rantai leher wanita itu, mangsa cuba melawan bagi mempertahankan dirinya tetapi tidak berjaya sebaliknya terjatuh di atas jalan raya.

“Keadaan itu menyebabkan mangsa luka di tapak tangan kanan dan lutut kaki kiri, manakala kedua-dua lelaki berkenaan melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, mangsa mengalami kerugian RM2,000 kerana rantainya bernilai RM1,500 dan cincin bernilai RM500 yang digantung turut dilarikan peragut berkenaan.

Katanya, anak mangsa pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mangsa membuat laporan polis beberapa jam kemudian dan kami menjalankan siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

“Kami masih mengumpul maklumat termasuk meneliti rakaman litar kamera tertutup (CCTV) beberapa rumah di tempat kejadian bagi mengenal pasti suspek,” katanya.

Berikutan itu, katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 3:48 PM