BALU arwah Nazrin, Samirah Muzaffar (dua kanan) hadir pada perbicaraan kes kematian CEO Cradle Fund itu, hari ini. FOTO Sairien Nafis.
Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my


SAKSI kes bunuh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund) Nazrin Hassan menafikan bahawa seorang saksi penting gagal dikesan akibat tindakannya yang gagal mendapatkan butiran diri daripada individu yang melihat kebakaran rumah di Mutiara Damansara.

Saksi kelima pendakwaan, Koperal Jamaliah Osman, 59, berkata terdahulu, dia menerima panggilan telefon daripada individu bernama Chung Shan Hui melalui talian bantuan kecemasan MERS 999 pada 12.29 tengah hari, 14 Jun lalu.

“Butiran diri Chung tidak saya rekodkan kerana tidak diperoleh ketika mendapat panggilan itu,” katanya yang kini bertugas di Pusat Kawalan Daerah (C41) di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.

Jamilah yang berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 38 tahun berkata demikian ketika sesi soal balas peguam LS Leonard pada hari ketiga perbicaraan kes berprofil tinggi di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman di Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini.

LEONARD: Setuju panggilan diterima daripada Chung Shan Hui mengatakan dia individu yang melihat kebakaran?

JAMALIAH: Ya.

LEONARD: Disebabkan koperal tidak dapat butir-butir ini, seorang saksi penting tidak dapat dikesan?

JAMALIAH: Tidak setuju.

LEONARD: Mengapa?

JAMALIAH: Sebab terpampang nombor telefon dan pegawai penyiasat akan menghubungi nombor itu.

Ketika disoal Leonard sama ada individu bernama Chung itu dapat dikesan atau tidak, Jamaliah berkata, ‘saya tidak tahu’ dan memaklumkan membuat satu laporan polis berhubung panggilan yang diterima.

Mengulas lanjut, saksi sama berkata, dia kemudian menghubungi kereta peronda polis untuk ke tempat kejadian.

Sementara itu, dalam sesi soal semula dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Mawarni Halim, Jamaliah menjelaskan dia tidak mengambil butiran pemanggil bernama Chung kerana individu itu susah memberikan nama dan nombor telefon.

“Berdasarkan pengalaman saya, selalunya apabila menerima panggilan kecemasan, si pemanggil tidak akan mendedahkan butiran diri ketika ditanya,” katanya.

NOOR MAWARNI: Kalau tiada butiran itu, adakah maklumat mencukupi?

JAMALIAH: Mencukupi sebab pegawai penyiasat kita profesional.

Sementara itu, seorang lagi saksi pendakwaan, Shafie Abd Aziz, 60, pesara polis berkata, dia ditugaskan untuk mengambil gambar proses gali kubur dan bedah siasat mayat Nazrin kali kedua.

Saksi keenam itu berkata, proses bedah siasat kedua itu dijalankan selama dua hari di Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM), Petaling Jaya.

“Mayat Nazrin digali semula pada 8 Oktober 2018 di Tanah Perkuburan Seksyen 9, Kota Damansara, selepas selesai taklimat pada 9 pagi.

“Pada jam 2.30 petang, saya dibawa ke PPUM dan diarahkan mengambil gambar ketika bedah siasat dijalankan dan selesai pada 6.30 petang,” katanya yang berpangkat sarjan sebelum bersara, memaklumkan hanya menerima arahan Pegawai Penyiasat (Asisten Superintendan Mohd Nizam) untuk tugasan mengambil gambar.

Menurut Shafie, dia difahamkan bedah siasat disambung keesokan harinya dari 9 pagi hingga 5 petang.

“Saya mengambil 112 imej keseluruhannya bagi proses gali semula dan bedah siasat terhadap arwah Nazrin.

“Mayat Nazrin kemudian dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Seksyen 9, Kota Damansara itu pada hari sama (9 Oktober 2018),” katanya.

Balu arwah Nazrin, Samirah Muzaffar, 44, dan dua remaja lelaki masing-masing berusia 17 dan 14 tahun mengaku tidak bersalah membunuh mangsa yang ketika itu berusia 47 tahun di sebuah rumah di Mutiara Homes, antara 11.30 malam, 13 Jun 2018 dan 4 pagi, 14 Jun 2018.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) yang dibaca bersama Seksyen 34, KK yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 3:40 PM