Nor Farhani Che Ad
am@hmetro.com.my


“SEBELUM arwah keluar ke masjid, ayah sempat bergurau dengan mak mengatakan mereka sudah tua dan tidak tahu usia panjang atau tidak,” kata Siti Rohani Ahmad, 37.

Dia adalah anak ketiga Ahmad Saad, 68, iaitu bilal sukarela yang meninggal dunia selepas selesai melaungkan azan Isyak di Masjid An-Nur Felda Teloi Timur, Kuala Ketil, Sik, semalam.

Pada awalnya, Siti Rohani menganggap bapanya bergurau memandangkan arwah suka bergurau dengan sesiapa saja.

“Ayah memang suka melawak dengan semua orang termasuk kami, jadi bila dia kata macam tu dekat mak, Latifah Saad, 68, saya rasa ia perkara biasa.

“Sehingga kami dikhabarkan ayah meninggal dunia di masjid semalam, ketika itu baru saya sedar bahawa arwah seperti tahu yang dia akan meninggalkan kami,” katanya.

Siti Rohani berkata, arwah biasa ke masjid yang terletak kira-kira dua kilometer dari rumah mereka lebih awal iaitu sebelum masuknya waktu solat fardu.

“Arwah kata dia pergi awal ke masjid untuk susun sejadah selain nak rebut pahala melaungkan azan,” katanya.

Dalam pada itu, Siti Rohani berkata, biarpun sedih, mereka sekeluarga bersyukur arwah meninggal dunia dalam keadaan yang baik.

“Mungkin kerana sifatnya semasa hidup yang begitu penyabar dan tidak suka mencampuri urusan orang lain membuatkan arwah menjadi antara insan yang dipilih meninggal dalam keadaan sebegitu,” katanya.

Berita berkaitan

Meninggal dunia lepas azan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 3:36 PM