Keadaan kebakaran di Taman STC, Sri Aman pada Selasa lalu. Foto Ihsan JBPM
Mohd Roji Kawi
am@hmetro.com.my


PEMERINTAHAN Medan Timur Tentera Darat Malaysia (PMTTDM) bersedia menggerakkan aset dan anggotanya bagi membantu operasi memadam kebakaran tanah gambut dan belukar di Sri Aman.

Panglimanya, Leftenan Jeneral Datuk Wira Zamrose Mohd Zain berkata, pihaknya bersedia bila-bila masa untuk melaksanakannya kerana ia antara tanggungjawab ketika bencana.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini pihaknya belum menerima apa-apa arahan daripada Markas TDM berhubung penugasan itu.

“Kami sedia maklum keadaan yang berlaku di Sri Aman sekarang dan bersedia membantu mana-mana agensi apabila khidmat kami diperlukan, kerana ia termasuk dalam tugas-tugas khusus untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan TDM amnya.

“Dalam soal bencana alam, ia diselaraskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan mereka yang akan memberi arahan melalui saluran tertentu dan kita menunggu arahan daripada ATM khususnya Markas TDM,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis Sambutan Hari Pahlawan dan Penyampaian Sumbangan kepada Anggota Tentera Cedera di Kem Muara Tuang di Kota Samarahan hari ini.

Hadir sama Panglima Divisyen Pertama Infantri Malaysia Mejar Jeneral Datuk Md Din Abu; Panglima 3 Briged Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Mohd Isa Jaafar, Panglima 9 Briged Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Abdul Rahman Abdul Wahab dan Panglima 31 Briged Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Datuk Johnny Lim Eng Seng.

Situasi jerebu di Sri Aman kini semakin serius dengan indeks pencemaran udara (IPU) mencecah tahap berbahaya dengan bacaan 412 pada 2 petang hari ini.

Difahamkan, operasi besar-besaran akan diadakan esok membabitkan pesawat Bombardier CL-415 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang akan melaksanakan ‘water bombing’ di lokasi kebakaran hutan serta belukar di Kampung STC dan Jalan Kejatau, Sri Aman.

Zamrose menyampaikan sumbangan kepada veteran tentera yang cedera ketika operasi ketika bertugas sebelum ini di majlis Sambutan Hari Pahlawan dan Penyampaian Sumbangan kepada Anggota Tentera Cedera di Kem Muara Tuang, Kota Samarahan. Foto Mohd Roji Kawi

Terdahulu, Zamrose menghadiri perhimpunan sempena Hari Pahlawan yang diadakan di dewan tertutup di Kem Muara Tuang berikutan jerebu teruk turut melanda Kota Samarahan.

Seramai 120 veteran tentera turut hadir sama pada majlis itu bagi memberi penghormatan kepada rakan seperjuangan yang terkorban ketika mempertahankan kedaulatan negara.

Selain itu, beliau turut mengagihkan sumbangan kepada 31 veteran tentera yang mengalami kecederaan ketika terbabit dalam operasi.

Mereka termasuk penerima pingat keberanian Persekutuan, Panglima Gagah Berani (PGB) Leftenan Kolonel (B) Anuar Basha Khan dan Mejar (B) Micheal Riman Bugat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 3:18 PM