GAMBAR hiasan. Arkib NSTP.
Noor Atiqah Sulaiman
am@hmetro.com.my


TARIKH 5 Oktober dipilih sebagai Hari Akademia seperti dipersetujui jemaah menteri, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Menurutnya, pihaknya mencadangkan tarikh itu selaras sambutan Hari Guru Sedunia dan akan memeriahkannya dengan pelbagai program wacana dan intelektual.

“Kita akan adakan sepanjang bulan itu dan kemuncak sambutan dengan adakan Anugerah Akademik Negara (AAN) iaitu satu anugerah tertinggi dalam menghargai peranan dan sumbangan kakitangan akademik (pensyarah).

“Kementerian komited dalam mewujudkan ekosistem pendidikan tinggi yang berkualiti dan sentiasa berusaha gigih ke arah melahirkan ahli akademik bertaraf antarabangsa,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Maszlee berkata, pengiktirafan Hari Akademia itu sebahagian usaha berterusan kementeriannya bagi menghargai jasa dan sumbangan seluruh kakitangan akademik di pelbagai peringkat pengajian.

Katanya, ia termasuklah Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA), Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS), Institut Pendidikan Guru (IPG), Politeknik, Kolej Komuniti, Kolej Matrikulasi serta Institut Latihan dan Kemahiran (IPK) dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Pada 7 Mac lalu, Maszlee dilaporkan bercadang untuk mewujudkan satu hari khas bagi menghargai sumbangan dan pengorbanan pensyarah negara ini.

Beliau dilapor berkata, masyarakat negara ini akan menyambut Hari Guru pada 16 Mei setiap tahun untuk memperingati sumbangan guru, namun tiada sambutan bagi menghargai jasa pensyarah di universiti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 3:04 PM