ANGGOTA bomba membantu mengeluarkan mayat mangsa yang maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lagi motosikal di Jalan Istana berhampiran susur masuk Ke Jalan Dewan Bahasa, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Ihsan Bomba
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


LELAKI maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lagi motosikal di Jalan Istana berhampiran susur masuk Ke Jalan Dewan Bahasa, Kuala Lumpur, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 9.02 pagi.

“Seramai sembilan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Hang Tuah dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik tiba, kami mendapati berlaku kemalangan membabitkan dua motosikal.

“Penunggang motosikal berkuasa tinggi jenis Honda berusia 41 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala seorang lagi mangsa iaitu penunggang motosikal Yamaha 125ZR dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba di lokasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 1:39 PM