LIEW (kiri) diberi penerangan oleh Abdul Hamid (dua, kanan) ketika melawat kediaman anggota polis di Kem Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras. Turut kelihatan Komander PGA Briged Tengah SAC Muhammad Abdul Halim (dua, kiri). FOTO Bernama
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menyambut baik pelaksanaan pemasangan kamera badan bagi mencegah fitnah terhadap anggotanya selain meningkatkan kecekapan dalam tugas.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pelaksanaan itu dapat mengelakkan berlakunya penyelewengan dalam tugasan yang dilaksanakan.

“Bukan sahaja ‘body cam’ (kamera badan) tetapi peralatan lain seperti pistol perenjat elektrik (taser gun) untuk kes-kes mententeramkan orang mengamuk juga diperlukan kerana ia terbukti dapat memudahkan polis menangkap orang sebegini.

“Selain itu, kita juga akan kemukakan kepada pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) beberapa peralatan yang diperlukan dalam modern policing,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat berek polis Bahagian Briged Tengah, Pasukan Gerakan Am (PGA) di Cheras, hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong,Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan), Kementerian Dalam Negeri, Datuk Zainal Abidin Abu Hassan dan Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah, Datuk Dr Anis Yusal Yusoff.

Abdul Hamid berkata, beliau sememangnya mengalukan berita baik itu kerana pihaknya banyak membuat permohonan untuk menaik taraf peralatan diperlukan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam berkata, pegawai dan anggota penguatkuasa seperti polis, kastam dan imigresen akan menggunakan kamera badan.

Menurutnya, penggunaan alat itu nanti bertujuan meningkatkan lagi integriti, kecekapan dan ketelusan pihak berkuasa terbabit apabila berurusan dengan orang ramai.

Berita berkaitan:

  • Perlu pasang ‘dashcam’ juga
  • Kamera badan untuk anggota polis
  • Guna kamera badan tingkatkan integriti
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 1:05 PM