Gambar Hiasan
Khairul Najib Asarulah Khan
khairul.najib@nstp.com.my


PENGGUNAAN kamera badan terhadap anggota penguat kuasa adalah satu langkah ke hadapan dalam meningkatkan integriti anggota badan beruniform.

Bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata, dia pernah mencadangkan penggunaan itu pada 2007 namun disebabkan kekangan tertentu ia tidak dapat direalisasikan.

Katanya, penggunaan gajet itu dapat menjadi bukti dan mencegah salah laku terhadap anggota penguat kuasa yang bertugas.

“Ia secara langsung menambah nilai terhadap anggota berkenaan. Saya harap penggunaan ia kelak membabitkan semua anggota penguat kuasa bagi setiap jabatan seperti narkotik, trafik, jenayah dan sebagainya.

“Ia juga perlu digunakan sepanjang mereka bertugas terutama semasa serbuan atau operasi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Harian Metro hari ini melaporkan, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, anggota penguat kuasa seperti polis, kastam dan imigresen akan menggunakan kamera badan selepas kerajaan mempunyai peruntukan tidak lama lagi.

Penggunaan alat itu bagi meningkatkan integriti, kecekapan dan ketelusan pihak berkuasa terbabit apabila berurusan dengan orang ramai.

Dalam pada itu, Musa berkata,kerajaan juga perlu melaksanakan pemasangan ‘dashcam’ pada setiap kenderaan penguat kuasa seperti kereta peronda polis.

“Pemasangan itu dapat menjadi bukti jika berlaku sesuatu kejadian tidak diingini. Dengan kepesatan teknologi, wujud pelbagai gajet di pasaran.

“Kita perlu mengambil peluang dengan penggunaan gajet bersesuaian mengikut peredaran masa,” katanya.

Berita berkaitan:

  • Kamera badan untuk anggota polis
  • Guna kamera badan tingkatkan integriti
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 11:17 AM