BOMBA membantu memadamkan kenderaan mangsa.
Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my


ANGGOTA polis berdepan detik cemas selepas kereta dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan pacuan empat roda sebelum terbakar di Kampung Lakota di Jeli, malam tadi.

Dalam kejadian 9.30 malam itu, mangsa berusia 30 tahun bagaimanapun berjaya diselamatkan orang awam.

Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Ahmad Arifin berkata, ketika kejadian, mangsa memandu kereta itu dari Jeli ke Ayer Lanas.

Katanya, apabila tiba di lokasi kejadian keretanya berlanggar dengan pacuan empat roda yang keluar dari simpang sebelah kiri.

“Mangsa tidak sempat mengelak dan melanggar pacuan empat roda itu sebelum terbabas ke dalam parit.

“Kemalangan itu mengakibatkan kereta mangsa terbakar, namun dia berjaya diselamatkan orang awam yang kebetulan melalui jalan itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, mangsa yang cedera di pinggul dan lutut kiri dibawa ke Hospital Jeli untuk rawatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 10:01 AM