NORHAIDA kelihatan sedih menceritakan kisah hidupnya ketika ditemui di Taman Debunga, Merlimau. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
Rizanizam Abdul Hamid
mrizanizam@nstp.com.my


“TERIMA kasih dan cukuplah setakat ini beri bantuan kepada saya yang sudah lebih dari cukup. Saya malu kerana bukan sifat diri untuk meminta-minta, cuma waktu itu saya terlalu buntu mengenangkan nasib suami dan anak-anak yang sedang kelaparan,” kata Norhaida Kharuddin, 34.

Sambil menangis, suri rumah itu mengakui malu apabila kisahnya meminta bantuan makanan untuk keperluan lima anaknya berusia antara dua hingga 12 tahun tular di media sosial, semalam.

Menurutnya, dia tidak menyangka tindakannya membenarkan masalahnya itu dikongsi di Facebook (FB) mendapat perhatian meluas sehingga pelbagai pihak tampil untuk membantu.

“Sejujurnya, kehidupan kami tujuh beranak tidaklah terlalu susah atau senang walaupun pendapatan suami, Mohd Adam Ezam, 38, sebagai kelindan lori hanya RM500 hingga RM1,000 sebulan.

“Cuma kebetulan ketika itu suami tiba-tiba pengsan dan dimasukkan ke zon merah Hospital Sungai Buloh, Selangor akibat serangan jantung dan pada masa sama kami anak beranak terputus bekalan makanan di rumah.

“Waktu itu, saya terlalu buntu dan hanya terfikir untuk meminta bantuan Uncle Kentang (Kuan Chee Heng) kerana mengikuti ‘page’ FB beliau yang banyak membantu golongan susah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Debunga, Merlimau di Jasin, semalam.

Bercerita lanjut Norhaida berkata, sebelum kejadian, suami diarahkan majikannya ke Kuala Lumpur bersama pemandu lori.

“Pada jam 11.30 pagi, pemandu lori menelefon saya memaklumkan suami tiba-tiba pengsan dan dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh.

Suami masih tidak sedarkan diri sehingga jam 2 petang dan ditempatkan di zon merah membuatkan saya semakin takut dan buntu memikirkan kesihatannya.

“Saya takut kerana berada jauh apatah lagi selama 13 tahun berkahwin, dialah tempat kami anak beranak bergantung hidup,” katanya cuba menahan tangisan.

Walaupun mengakui malu dengan tindakannya itu, Norhaida berkata, dia amat berterima kasih kepada semua pihak yang mendoakan keselamatan suaminya yang sudah pun sedar semalam tetapi masih belum dibenarkan pulang sehingga kesihatannya stabil.

Wanita itu turut berterima kasih kepada semua pihak yang segera menghulurkan bantuan sehingga dia mendapat bekalan makanan yang lebih dari cukup.

“Saya rasa cukuplah setakat ini bantuan dihulurkan dan berharap masyarakat tidak menyalahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), institusi zakat, Baitumal, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) atau sesiapa sahaja.

“Lagi pun memang selama ini saya tidak pernah meminta bantuan daripada semua agensi itu kerana merasakan ada mereka yang lebih layak dibantu,” katanya sebak.

Bagaimanapun, Norhaida berterima kasih kepada MAIM dan JKM yang telah berkunjung ke rumahnya semalam (Rabu) sebelum meluluskan bantuan bulanan makanan asasi sebanyak RM250 dan RM400 sebulan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 9:44 AM