AHMAD (kiri) menunjukkan alat menangkap tikus canggih yang mampu menghantar SMS jika berjaya memerangkap haiwan perosak berkenaan. FOTO Shahrinnahar Latib
Shahrinnahar Latib
am@hmetro.com.my


SEKUMPULAN pensyarah dari Institut Latihan Perindustrin (ILP) Kuantan di sini, berjaya menghasilkan alat menangkap tikus canggih yang mampu menghantar sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada pengguna apabila berjaya memerangkap haiwan perosak itu.

Pensyarah Fakulti CADD Senibina ILP Kuantan, Ahmad Ismail berkata, kajian untuk menghasilkan alat dinamakan Litter Mouse Trap itu sudah dilaksanakan sejak 2018 lagi namun sebelum ini ia tidak dilengkapi dengan sistem SMS.

“Namun kira-kira dua bulan lalu, kita sudah menaik taraf alat ini dengan menggabungkan sistem amaran melalui SMS dengan menggunakan Kit Interface SIM900D GSM Modul Board With Ardulo Mega 2560.

“Sedikit pengubahsuaian litar dilakukan dengan memasang sensor infra merah yang bertujuan mengesan apabila tikus memasuki perangkap itu,” katanya.

Ahmad berkata, apabila tikus memasuki perangkap itu, sensor infra merah akan memberi maklumat kepada GSM modul sebelum menghantar SMS ke telefon pengguna.

“Pengguna telefon akan menerima maklumat bahawa tikus sudah terperangkap dalam alat berkenaan. Ini membolehkan pengguna mendapat tahu jumlah tikus yang masuk ke perangkap berkenaan,” katanya.

Katanya, alat itu adalah hasil kajian bersama dengan dua lagi penyarah ILP Kuantan iaitu Ruseman Sani Surin, 43, dan Mohd Hafiz Awang, 47.

“Kos untuk menghasilkan alat ini hanya RM150. Setakat ini ada beberapa syarikat dan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang sudah berminat membeli alat ini,” katanya.

Katanya, inovasi untuk menangkap tikus itu dianggap menarik kerana tidak memerlukan perbelanjaan besar malah tikus bersaiz besar yang banyak terdapat di kawasan bandar mudah ditangkap menggunakan alat itu.

“Banyak kebaikan menggunakan alat ini untuk menangkap tikus antaranya tidak memerlukan perbelanjaan besar bagi membeli racun selain menjimatkan tenaga kerja dan dapat mengawal pencemaran.

“Saya berharap kaedah menangkap tikus menggunakan alat ini dapat dikembangkan kepada semua PBT di seluruh negara yang sebelum ini berhadapan ancaman mamalia perosak itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 5:30 AM