Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador.
Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my


“KALAU dapat direalisasikan secepat mungkin, penggunaan ‘body cam’ akan banyak membantu kerja polis,” kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Menurutnya, saranan kerajaan yang mahu anggota polis dilengkapi kamera badan disambut baik kerana dapat mengelakkan pelbagai fitnah.

“Memang dialu-alukan kerana boleh elakkan pelbagai fitnah, malah boleh memastikan anak buah saya tidak melakukan penyelewengan dalam tugasan.

“Bukan body cam sahaja malah banyak lagi yang perlu dibekalkan kepada polis termasuk pistol taser (Taser Gun), untuk kegunaan menangkap penjenayah mahupun dalam kes membabitkan orang gila mengamuk,” katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Tabung Pahlawan 2019 di Kementerian Pertahanan, malam tadi.

Beliau berkata, cadangan penggunaan kamera diharap dimasukkan dalam Bajet akan datang.

Katanya, kos bagi mendapatkan kamera badan agak mahal, namun hasil penggunaannya cukup berbaloi.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan anggota polis akan dilengkapkan kamera badan ketika bertugas secepat mungkin bagi mengelakkan penyelewengan dalam tugasan.

Menurut Perdana Menteri, penggunaan kamera juga penting bagi mempertahankan anggota dan pegawai polis yang berdepan pelbagai tuduhan selain perkara sebenar dapat dibuktikan melalui rakaman kamera berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 12:27 AM