JOHARI (dua dari kiri) menyampaikan cek replika Faedah Pengurusan Mayat PERKESO kepada Azizah di Kampung Baru RISDA, Gurun, Sungai Petani, hari ini. FOTO Nor Farhani Che Ad.
Nor Farhani Che Ad
am@hmetro.com.my


“BANTUAN ini saya rasakan ibarat anak masih ada, biarpun dia sudah meninggal dunia,” kata Azizah Ramli, 64, ibu kepada pemandu treler yang maut akibat dihempap kayu balak dalam kejadian di Gua Musang, Kelantan pada 10 September lalu.

Azizah berkata, sudah menjadi kebiasaan apabila anak bongsunya daripada tujuh beradik itu, Muhammad Suhaimi Saad, 26, meninggalkan dia beberapa hari kerana perlu berulang-alik dari Kelantan ke negeri di sebelah utara untuk mengangkut kayu balak.

“Setiap kali arwah balik, arwah akan hulurkan duit untuk belanja saya sebelum dia keluar semula bekerja untuk beberapa hari,” katanya.

Azizah ditemui pada Majlis Penyampaian Cek Faedah Pengurusan Mayat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di kediamannya di Kampung Baru RISDA, Gurun, Sungai Petani, hari ini.

Cek berjumlah RM2,000 disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Datuk Johari Abdul. Hadir sama, Pengurus PERKESO Sungai Petani, Shukri Mohammad.

Dalam pada itu, Azizah berkata, anaknya baru tiga bulan berkerja di syarikat membawa kayu balak itu selepas ditawarkan gaji lebih tinggi.

“Arwah kata kerja baru ni dia dapat buat sedikit simpanan masa depan di samping melunaskan pembayaran keretanya.

“Namun, saya tidak sangka ajalnya di tempat kerja baarunya itu. Saya reda dengan apa yang sudah berlaku,” katanya.

Dalam kejadian 1.10 tengah hari itu, mangsa dikatakan sedang mengikat kayu balak di atas treler untuk dibawa ke Jawi, Pulau Pinang.

Malangnya, salah satu kayu menggelungsur laju lalu terjatuh dan menghempap belakang badan serta leher mangsa sebelum mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Sementara itu, Shukri berkata, hasil siasatan dan semakan mendapati waris mangsa layak menerima faedah PERKESO.

“Arwah meninggalkan ibunya yang juga ibu tunggal yang turut mempunyai tanggungan seorang anak orang kurang upaya (OKU).

“Bayaran ini adalah permulaan dan akan diikuti dengan bayaran berkala iaitu bayaran pencen secara bulanan di bawah Faedah Orang Tanggungan (FOT) PERKESO sepanjang hayat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 8:35 PM