Gambar hiasan
Ibrahim Isa
ibrahim@hmetro.com.my


LELAKI dibelasah orang ramai selepas terkantoi ketika cuba melarikan beg galas seorang pemandu lori dalam kejadian di sebuah stesen minyak di Ulu Tiram di Johor Bahru hari ini.

Dalam kejadian pada 7.45 pagi itu, lelaki cuba melarikan beg galas milik seorang pemandu lori yang sedang mengisi minyak sebelum tindakannya dikesan mangsa dan berjaya menahannya dengan bantuan orang ramai.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintendan Ismail Dollah berkata, ketika kejadian mangsa yang berusia 37 tahun sedang mengisi minyak lori yang dipandunya.

“Tiba-tiba mangsa melihat seorang lelaki tidak dikenali turun dari lori yang dipandunya sambil memegang begnya.

“Berikutan itu, mangsa mengejar suspek berkenaan dan hasil bantuan orang ramai berjaya menahan lelaki itu sebelum menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, sepasukan polis ke tempat kejadian dan menahan suspek berusia 39 tahun untuk siasatan lanjut.

Katanya, pada masa sama pihaknya dapat kembali beg sandang milik pemandu lori mengandungi wang dan merampas sebuah motosikal Honda Wave digunakan suspek.

“Hasil pemeriksaan, kami dapati motosikal itu dilaporkan hilang di sekitar Ulu Tiram pada 14 Jun lalu dan semakan rekod mendapati suspek mempunyai dua kesalahan lampau membabitkan kes dadah mengikut Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Kami akan mendapatkan perintah reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 8:25 PM