Dadah dan pelbagai barangan yang dirampas dalam dua serbuan di Cheras semalam. Foto Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


DUA lelaki warga Taiwan dan seorang wanita China ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras semalam dalam dua serbuan serta merampas dadah bernilai RM322,410.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, serbuan pertama pada 7 malam dan menahan seorang lelaki warga Taiwan di Taman Kobena.

Menurutnya, pemeriksaan di rumah itu kemudiannya menemui dadah methamphetamine seberat 113.40 gram dan cecair minyak kanabis sebanyak 360 milimeter (mm) dengan nilai keseluruhan RM22,410.

Katanya, wang tunai sebanyak RM300 turut dirampas dalam serbuan berkenaan.

“Dalam serbuan berasingan pula, polis tahan seorang lagi lelaki warga Taiwan dan seorang wanita warga China.

“Serbuan itu dilakukan di sebuah kondominium di Taman Maluri pada 9 malam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamed Mokhsein berkata, polis turut merampas satu bungkus ketamin seberat 1,100 gram dan 15,700 biji pil erimin 5.

“Kita turut merampas wang tunai RM250, mata wang Jepun dan sebuah kereta BMW.

“Nilai rampasan dadah ketamin sebanyak RM65,000, manakala erimin 5 sebanyak RM235,000,” katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek direman seminggu bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Siasatan juga mendapati tangkapan pertama tidak berkaitan dengan kegiatan pengedaran dadah membabitkan tangkapan kedua,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 7:30 PM