AMHARI Afendi hadir bagi memberi keterangan pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB. FOTO Zulfadhli Zulkifli
Nasharuddin Muhammad dan Murni Wan Omar
am@hmetro.com.my


BEKAS pegawai khas, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengarahkan beliau ke China secara rahsia untuk menyelamatkan projek 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd.

Beliau berkata demikian ketika dirujuk oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah kepada nota maklumat yang disediakan oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho pada 2016.

Dalam keterangan sebelum ini, Amhari memberitahu mahkamah bahawa Najib mengarahkan beliau ke China seorang diri secara rahsia bagi meningkatkan hubungan dan pelaburan dua negara.

Muhammad Shafee dalam soalannya mempertikaikan keterangan Amhari itu yang mendakwa mahu mengenakan Najib.

SHAFEE: Kenapa kamu mengatakan bahawa ia adalah untuk ‘bailout’ (menyelamatkan)?

AMHARI: Najib ada menawarkan peluang kepada SOEs (Syarikat Milik Negara-China) untuk terbabit dalam projek infrastruktur dan dalam masa sama menyelesaikan hutang 1MDB dan SRC.

Ayat menyelesaikan hutang serentak dengan memberi peluang ini jelas menunjukkan bahawa hubungan dua hala ini adalah untuk membantu 1MDB dan SRC dengan menyelamatkan mereka.

SHAFEE: Kenapa tidak boleh kata bahawa isu 1MDB dapat diselesaikan melalui projek infrastruktur dengan China?

AMHARI: Saya tidak boleh bersetuju kerana kita tidak boleh meletakkan perkara itu sedemikian rupa dalam nota maklumat.

SHAFEE: Jika ini adalah untuk ‘bailout’, sepatutnya tidak ada orang membuatnya secara penulisan (meletakkan di dalam nota maklumat)?

AMHARI: Saya pergi misi yang tidak orang tahu. Saya hanya boleh bercakap bagi pihak diri sendiri.

SHAFEE: Berdasarkan pengalaman, kamu merumuskan ini adalah untuk ‘bailout’?

AMHARI: Ya. Berdasarkan pengalaman ini dan sejarah antara Jho Low dan 1MDB, saya dapat mengatakan ia adalah untuk ‘bailout’.

SHAFEE: Saya cadangkan, kamu mengatakan ia adalah ‘bailout’ kerana kamu diminta oleh SPRM untuk mengenakan anak guam saya dengan kesalahan supaya beliau didakwa?

AMHARI: Saya tidak setuju.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 5:44 PM