Thanks Indonesia yang trending di Twitter Malaysia.
Suraya Roslan
surayaroslan@hmetro.com.my


‘THANKS (terima kasih) Indonesia’, menjadi ciapan paling ‘trending’ di Twitter Malaysia selepas negara ini berada di kedudukan teratas dalam senarai negara yang mencatatkan indeks pencemaran udara tertinggi dunia pagi hari ini.

Berdasarkan indeks kualiti udara dunia (WAQI) pada 6 pagi hari ini, Malaysia berada di tangga pertama dengan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) 266.

Bacaan tertinggi itu mengatasi Afrika Selatan dengan IPU 217, Indonesia (207), India (194) dan China (178).

Bagaimanapun, kedudukan Malaysia turun ke tangga keempat pada 3 petang di belakang China dengan IPU 999, Australia (368) dan Iran (342) apabila mencatatkan bacaan IPU 267 dan Indonesia di tangga kelima dengan IPU 252.

Susulan epidemik jerebu yang melanda negara, warganet melancarkan tanda pagar Thanks Indonesia sebagai menyindir negara itu yang menyebabkan pencemaran di Malaysia yang berlaku saban tahun.

Seorang warga maya, Orked Dahlia dengan ciapan Thanks Indonesia we couldn't achieve this without you (terima kasih Indonesia, kami tidak akan berada di tahap ini tanpa kamu) dengan menyertakan WAQI Malaysia berada di tangga pertama.

Selain itu, Stella Melkion turut mengucapkan ‘terima kasih’ kepada negara jiran itu.

“Thanks Indonesia. You are the best neighbour,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 3:36 PM