DURIAN Musang King (Gambar Hiasan). FOTO Arkib NSTP
Mohd Rizal Abdullah
mohd.rizal@hmetro.com.my


KEDAH bakal meningkatkan pengeluaran durian klon menerusi Projek Perintis Durian dalam tempoh lima sehingga tujuh tahun akan datang.

Sebanyak 900 pokok durian terdiri daripada gred D99 (Kop Kecil), D159 (Manthong), D200 (Ochee), D175 (Udang Merah) dan D197 (Musang King) disumbangkan Jabatan Pertanian Malaysia dan ditanam di tanah Kolej Pertanian Malaysia di Bukit Tangga di Bukit Kayu Hitam.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Asas Tani, Pengangkutan, Pembangunan Insan Negeri Kedah, Azman Nasrudin berkata, ia membabitkan keluasan tanah seluas 7.5 hektar.

Menurutnya, projek di bawah Jabatan Pertanian Malaysia dengan kerjasama kolej pertanian itu bakal meningkatkan lagi pengeluaran durian klon di Kedah.

“Setakat ini, pengeluaran durian di negara ini masih rendah dan tidak dapat memenuhi permintaan pasaran.

“Justeru, menerusi inisiatif ini dapat memberikan nilai tambah kepada pemain industri sekali gus membantu meningkatkan pengeluaran buah ini.

“Di Kedah hanya 30 sehingga 40 peratus pengusaha durian dan kita mensasarkan peningkatan dari masa ke semasa melalui Jabatan Pertanian Malaysia,” katanya selepas merasmikan pelancaran projek itu di Kolej Pertanian Malaysia di Bukit Tangga, Bukit Kayu Hitam, hari ini.


AZMAN (duduk kiri) menyempurnakan Projek Perintis Durian pada Karnival Jalinan Tani Kolej Pertanian Malaysia. FOTO Mohd Rizal Abdullah

Hadir sama, Pengarah Bahagian Latihan Kemahiran Pertanian, Kementerian Pertanian dan Asas Tani, Mohd Sufian Sulaiman.

Beliau berkata, menerusi kerjasama ini, pengeluaran durian di negeri dapat ditingkatkan melalui pemindahan Agen Pengembangan Pertanian.

“Pengeluaran dapat ditingkatkan melalui pemindahan Agen Pengembangan Pertanian.

“Bukan itu sahaja, ia dapat memberikan peluang secara fizikal kepada pelatih dalam aspek penanaman dan pengurusan durian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 3:18 PM