VAN jenazah yang beroperasi secara percuma ketika menghantar jenazah ke Kampung Karamuak, di Tongod, Sandakan. FOTO Ihsan Yunizam Yuspo
Poliana Ronnie Sidom
poliana@bh.com.my


PENGALAMAN menginsafkan bagi Yunizam Yusop, 31, apabila setiap hari melihat kesedihan ditanggung penduduk daif meratapi kehilangan orang tersayang.

Pemuda yang menyediakan perkhidmatan van jenazah percuma sejak tahun lalu itu sudah membantu menghantar sekurang-kurangnya 1,500 jenazah dengan tempat paling jauh dari Sandakan ke Tenom dengan jarak kira-kira 500 kilometer (km).

Terbaru, kisah Yunizam yang turut dikenali sebagai Abam Botak itu tular di Facebook selepas membantu menghantar jenazah beragama Kristian ke Kampung Karamuak, Tongod, kira-kira 150 km dari Sandakan.

Kisah itu mendapat lebih 4,100 komen dan 4,900 perkongsian di Facebook.

Menceritakan kisah itu, Yunizam berkata, dia terserempak dengan seorang wanita ketika mengangkat jenazah di Hospital Duchess of Kent, Sandakan, baru-baru ini, sebelum diberitahu wanita berkenaan daripada keluarga susah dan tiada wang membiayai kos membawa pulang jenazah anaknya.

“Mahu sewa van tiada duit, mahu beli ubat awet (mayat) pun tiada duit. Semalaman tiada yang bantu. Makcik itu kata pada saya, jika kamu tiada, kami tidak tahu bagaimana keadaan kami.

“Paling meruntun hati saya apabila makcik itu cuma mampu menangis apabila saya kata van ini percuma, tiada bayaran.

“Bagi saya, tiada masalah untuk bantu mereka yang berlainan agama, asalkan mereka (yang perlukan khidmat van jenazah) tidak kisah (dibantu orang beragama Islam),” katanya sambil memberitahu dia membantu penduduk daif yang memerlukan perkhidmatan tanpa mengira agama kerana berasa kasihan dan bertanggungjawab.

Yunizam berkata, ketika ini, mereka menyediakan dua van jenazah dengan van kedua mula beroperasi Ogos tahun ini dan setiap hari, mereka menghantar antara dua hingga lima jenazah.

Katanya, mereka yang menggunakan perkhidmatan itu bukan saja membabitkan masyarakat di daerah ini, malah di daerah lain meliputi Beluran, Kinabatangan, Lahad Datu dan beberapa lagi kawasan.

“Paling mencabar apabila menghantar jenazah ke Kampung Karamuak. Bukan saja kerana mengambil masa enam jam dari Sandakan, malah keadaan jalan yang berbatu, licin dan tiada liputan telefon.

“Namun, itu bukan penghalang untuk membantu penduduk daif. Apa yang penting, mereka yang susah dapat dibantu kerana tanggungjawab kita sebagai orang Muslim untuk membantu sesama insan,” katanya.

Selain berkongsi dengan rakan-rakan, Yunizam juga menerima sumbangan orang ramai bagi membantu kos penyelenggaraan van terbabit.

Pemuda itu sebelum ini turut menyediakan perkhidmatan kereta percuma ke hospital, memberi makan gelandangan, selain mengusahakan kelas mengaji di Pusat Bimbingan Siti Khadijah, di sini.

Berita berkaitan:

  • 'Puas hati tolong orang'
  • 'Murni hatimu Yunizam'
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 2:09 PM