ADLY pada sidang media, hari ini. FOTO Arkib NSTP
Amir Mamat
am@hmetro.com.my


KERAJAAN Melaka menafikan mesej pesanan suara yang tular di WhatsApp kononnya kerajaan negeri akan mengisytiharkan darurat susulan isu bekalan air di negeri ini, esok.

Ketua Menteri, Adly Zahari, berkata kenyataan berkenaan adalah tidak benar dan bertujuan untuk menimbulkan keresahan rakyat negeri itu.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya mendapatkan segala bentuk maklumat daripada agensi serta jabatan kerajaan khususnya berkaitan isu air.

“Memang hampir 40,000 pengguna di negeri ini terjejas akibat isu air ini, namun tidak pernah terlintas untuk kami mengisytiharkan darurat di negeri ini.

“Kami mempunyai beberapa pelan jangka pendek dan panjang untuk mengatasi masalah ini,” katanya pada sidang media di Seri Negeri, di Alor Gajah, hari ini.

Sejak beberapa hari, satu pesanan suara tular di aplikasi WhatsApp berdurasi 31 saat kononnya Adly akan mengisytiharkan darurat berikutan isu bekalan air di negeri ini, esok.

Lelaki itu juga turut menasihatkan orang ramai supaya menyimpan air secukupnya.

Mengulas lanjut, Adly berkata, meskipun paras air di tiga empangan utama di negeri itu melepasi tahap kritikal, namun tidak timbul soal darurat memandangkan kerajaan negeri menyediakan beberapa pelan kontigensi.

Antaranya, mengepam 270 juta liter air dari Sungai Gerisik, Johor, selain bantuan lori tangki air syarikat konsesi air dari beberapa negeri termasuk Pulau Pinang dan Terengganu selain kerjasama agensi kerajaan Persekutuan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat.

“Kalau mengikut kadar empangan kita mempunyai 25,000 juta liter lagi dan semestinya kita akan menguruskan air ini mengikut kaedah penyampaian air di kawasan terjejas iaitu menerusi lori tangki dan kalau ada di kawasan tertentu, kita akan mengubah tekanan air saja mengikut keperluan semasa.

“Kita pernah berbincang mengenai masalah air ini, namun tidak timbul pula soal darurat,” katanya.

Adly berkata, sehingga hari ini Empangan Durian Tunggal mempunyai 19.8 peratus air, diikuti Empangan Jus (42.5 peratus) dan Empangan Asahan (30.7 peratus).

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri akan mengemas kini sistem penyampaian maklumat berkenaan isu air ini dengan menggunakan semua medium termasuk aplikasi WhatsApp, media cetak, elektronik dan sosial serta hebahan melalui Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

“Maklumat itu akan disampaikan dari semasa ke semasa dan berharap semua pihak akan mengambil maklumat serta tindakan segera,” katanya.

Berita berkaitan:

  • Tak pernah terjadi...
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 1:33 PM