PEKERJA Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) membekalkan air kepada penduduk yang terjejas bekalan air, di Taman Paya Rumput Indah. FOTO Nazri Abu Bakar.
Nazri Abu Bakar
am@hmetro.com.my


“SEINGAT saya, selepas lebih 15 tahun duduk di sini, ini kali pertama bekalan air terputus,” kata Hasnan Samad, 64, penduduk Taman Paya Rumput Indah, di Melaka, selepas bekalan air di rumahnya dicatu.

Lebih mengejutkan, dia mendakwa tiada pengumuman catuan dibuat oleh pihak berkuasa sehingga penduduk kebingungan akibat ketiadaan air di taman perumahan itu, sejak 10 malam kelmarin.

Menurutnya, situasi berkenaan amat menyukarkan, namun mujur masih terdapat simpanan air tangki yang dapat bertahan untuk kegunaan mandi dan memasak.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) yang mula membekalkan air di kawasan perumahan ini, petang semalam.

“Pegawai bertugas memaklumkan terdapat dua lori yang dihantar untuk membekal air berkenaan sehingga 6.30 petang,” katanya ketika ditemui NSTP, hari ini.

Tinjauan wartawan mendapati terdapat lori tangki SAMB yang membekal air kepada ratusan penduduk di taman berkenaan, namun masih terdapat lorong di perumahan itu yang belum dilalui menyebabkan kebanyakan penduduk ternanti-nanti bekalan air.

Malah, kebanyakan penduduk juga dilihat sudah mula menyediakan baldi serta tong kosong untuk dipenuhi dengan bekalan air.

Seorang lagi penduduk, Rosli Abd Samad, 63, berkata, situasi itu mencemaskan penduduk kerana mereka belum pernah berdepan dengan masalah terputus bekalan air.

“Kebanyakan penduduk juga tidak mempunyai bekas penyimpanan air untuk menyimpan kapasiti air lebih banyak. Hanya baldi kecil yang dapat disediakan bagi menampung keperluan memasak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 1:24 PM