BAKAKUK. FOTO HIASAN
Norasikin Daineh
norasikin_daineh@nstp.com.my


LELAKI parah selepas tertembak kaki sendiri dalam satu kejadian di kawasan bukit dalam hutan Kampung Batu 59, dekat Beaufort, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang, Awang Bin Usop@Udui, 50, dimaklumkan cedera di bahagian paha akibat terkena tembakan daripada senjata jenis bakakuk sebelum dibawa ke Hospital Beaufort untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, polis dimaklumkan berhubung kejadian itu pada 9 malam selepas menerima panggilan telefon daripada jururawat di hospital bahawa terdapat peluru pada kaki mangsa.

“Hasil siasatan lanjut mendapati, sebelum kejadian kira-kira 2 petang, mangsa yang bekerja sebagai pemotong kayu bersama anak saudaranya yang juga pemegang kad orang kurang upaya (OKU) masuk ke hutan untuk mencari kayu.

“Bagaimanapun, kira-kira 5 petang, isteri mangsa dimaklumkan oleh anak saudara mereka bahawa mangsa cedera di bahagian kaki kanan selepas tertembak sendiri dengan menggunakan senapang jenis bakakuk.

“Mangsa ketika itu berada di kawasan hutan sebelum dibawa ke wad kecemasan Hospital Beaufort dengan bantuan ambulans dan hasil imbasan x-ray terdapat enam butir peluru di bahagian paha kaki kanan mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azmir berkata lagi, susulan penemuan peluru itu, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut.

“Rakaman percakapan mangsa tidak dapat diambil kerana rawatan sedang dilakukan dan mangsa juga tidak berada dalam keadaan stabil sepenuhnya. Tangkapan akan dilakukan hanya selepas mangsa sedar.

“Bagaimanapun, tangkapan dilakukan terhadap anak saudara mangsa untuk membantu siasatan dan usaha untuk mengesan serta merampas bakakuk terbabit sedang dilakukan,” katanya.

Katanya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 12:29 PM