HANUM Ramli, 39, yang sarat mengandung dan ditinggalkan suaminya warga Pakistan yang dikahwini sejak November tahun lalu ketika ditemui di kediamannya di sebuah rumah kedai di Nilai 7. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria
am@hmetro.com.my


“BILA-BILA masa sahaja saya akan melahirkan anak, namun suami pula hilang entah ke mana.”

Demikian kata Hanum Ramli, 39, yang sarat mengandung dan ditinggalkan suaminya warga Pakistan yang dikahwini sejak November tahun lalu.

Menurut Hanum, hampir sebulan suaminya, Muhammad Hussain, 47, tidak pulang ke rumah dengan alasan keluar mencari pekerjaan yang lebih baik.

“Saya sedang sarat hamil dan hanya tunggu hari untuk bersalin. Saya tidak bekerja dan tiada wang untuk ke klinik atau hospital.

“Saya amat bimbang mengenai masa depan saya dan anak lelaki yang berusia lima tahun yang kini tinggal bersama saya.

“Sebelum ini, suami bekerja kedai tayar di Nilai. Saya pula baru berpindah dari Pontian, Johor, sejak lebih sebulan lalu kerana mengikut suami. Saya bimbang memikirkan cara untuk bersalin sedangkan tidak mempunyai wang, malah suami juga menghilangkan diri,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sebuah rumah kedai di Nilai 7, di Nilai, semalam.

Katanya, sebelum berkahwin dengan warga Pakistan berkenaan, dia adalah ibu tunggal kepada empat anak berusia lima hingga 17 tahun, manakala bekas suaminya sudah meninggal dunia tujuh tahun lalu.

“Tiga anak yang berusia 13 hingga 17 tahun berada di rumah anak yatim di Pontian, Johor. Hanya seorang anak lelaki berusia lima tahun tinggal bersama saya,” katanya yang bakal melahirkan cahaya mata lelaki.

Hanum berkata, dia amat berharap mendapat bantuan daripada mana-mana pihak untuk mengesan suaminya dan mahu memulakan hidup baru sebaik melahirkan anak nanti.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (PERKASIH N9), Norfadilah Mansor berkata, pihaknya dihubungi wanita ini untuk meminta bantuan.

“Saya sendiri sudah melawat dan memberikan bantuan segera berupa barangan makanan harian untuk mereka yang tinggal di rumah kedai di Nilai 7.

“Wanita ini perlu segera dibantu kerana dia bakal melahirkan pada bila-bila masa sahaja. Orang ramai yang mahu menyumbang kepada wanita ini bolehlah menghubungi saya di talian 012-9805132 untuk keterangan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 12:27 PM