KEADAAN jerebu yang menjejaskan pemandangan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran susur keluar Nilai, Negeri Sembilan. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@nstp.com.my


KERAJAAN perlu menyiasat dengan teliti dakwaan Indonesia mengenai syarikat dari Malaysia yang dikatakan turut terbabit dalam pembakaran hutan di negara berkenaan.

Aktivis masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, dakwaan itu tidak boleh dipandang remeh sebaliknya perlu disiasat segera dengan lebih terperinci.

“Ia perlu bagi memastikan dakwaan itu benar atau salah kerana jika ia benar seperti didakwa, sudah tiba masanya kerajaan mengambil tindakan tegas dan menghukum pihak terbabit.

“Kita tidak boleh lepas tangan kerana syarikat Malaysia yang beroperasi di sana perlu ada tanggungjawab sosial dalam melindungi alam sekitar,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Menurut Lam Thye lagi, masalah jerebu bukan perkara baharu kerana ia sudah berlarutan sejak 20 tahun lalu, namun sehingga hari ini masih tiada jalan penyelesaiannya.

“Kini jerebu sudah sampai ke tahap serius dan menjejaskan pembelajaran lebih sejuta pelajar di seluruh negara.

“Selain itu, jerebu juga memberi implikasi besar terhadap ekonomi negara kerana ramai peniaga terjejas, manakala sektor pelancongan turut merosot.

“Jadi, selain Indonesia sebagai negara utama yang bertanggungjawab, Malaysia juga perlu memainkan peranan bagi memastikan jerebu tidak berulang pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata, kerajaan akan menggubal undang-undang supaya tindakan serius boleh diambil terhadap syarikat Malaysia yang menyebabkan kebakaran hutan di luar negara sekali gus menyumbang kepada jerebu.

Langkah itu bagi memastikan syarikat berkenaan mempunyai tanggungjawab terhadap perbuatan yang dilakukan.

Kata Dr Mahathir, kerajaan mahu mengambil tindakan terhadap syarikat Malaysia yang mempunyai ladang di luar negara serta menyumbang kepada jerebu akibat pembakaran terbuka di kawasannya.

“Kita minta mereka mengambil tindakan memadam kebakaran dan sekiranya mereka enggan berbuat demikian, kerajaan akan menggubal undang-undang untuk menjadikan syarikat berkenaan bertanggungjawab terhadap kebakaran di hartanah mereka walaupun di luar negara,” katanya.

Lagi berita berkaitan Ancaman Jerebu

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 11:59 AM