Mohd Rojj Kawi
mdroji@bh.com.my


SEBANYAK 809 sekolah di Sarawak diarah tutup hari ini berikutan kualiti udara berjerebu sejak dua minggu lalu.

Jabatan Pendidikan Negeri dalam kenyataan memaklumkan daripada jumlah itu, 705 adalah sekolah rendah dan 104 lagi sekolah menengah.

Berikutan penutupan sekolah itu, 252, 237 pelajar bercuti dengan sebahagian daripada jumlah itu tidak bersekolah sejak Selasa lalu.

Penutupan sekolah itu membabitkan 17 Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dengan Padawan mencatat jumlah tertinggi iaitu 103 sekolah.

PPD Kuching pula sebanyak 90 sekolah, Samarahan (69), Saratok (69), Serian (65), Betong (61), Bau (44), Simunjan (42), Sri Aman (39), Kanowit (39), Meradong (35), Sibu (28), Lubok Antu (27), Sarikei (25), Julau (25), Lundu (25) dan Daro (23).

Sementara itu, kualiti udara di negeri ini semakin buruk dengan lima Stesen Pengawasan Udara Automatik mencatat bacaan Indeks Pencemaran sangat tidak sihat pada 7 pagi ini.

Berdasarkan maklumat laman Web Jabatan Alam Sekitar (JAS) kawasan terbabit adalah Kuching (271), Samarahan (229), Sibu (234), Sarikei (224) dan Sri Aman (206).

Lima lagi stesen, mencatat kualiti udara tidak sihat iaitu Bintulu (151), Mukah (195), Miri (109), Institut Latihan Perindustrian Miri (106) dan Samalaju (132).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 7:46 AM
PEMANDANGAN bandaraya Kuching yang berjerebu dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 212 iaitu 'sangat tidak sihat' pada 6 petang tadi. FOTO BERNAMA