SEMUA rampasan pakaian tiruan dianggarkan bernilai lebih RM21,000.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my


DIBAYAR gaji RM35 sehari dengan tambahan komisyen RM5 bagi setiap helai jersi bola sepak tiruan yang berjaya dijual kepada pelanggan.

Itu antara insentif menarik ditawarkan sindiket jersi bola sepak ciplak kepada warga asing yang diupah menjadi jurujual sekitar Jalan Petaling di sini.

Kegiatan itu bagaimanapun dibongkar selepas sepasukan anggota dan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menggempur lokasi tumpuan pelancong itu petang semalam.

Hasil operasi dilakukan itu, seramai dua peniaga warga Bangladesh dan Myanmar berjaya diberkas, manakala puluhan lain sempat melarikan diri.

Jurucakap KPDNHEP berkata, operasi dilakukan susulan pendedahan Harian Metro berhubung kegiatan penjualan jersi bola sepak jenama terkemuka tiruan yang dikesan berleluasa di kawasan itu.

“Hasil soal siasat dilakukan, jurujual warga asing itu mengaku diupah untuk menjual jersi bola sepak tiruan terutama membabitkan pasukan bola sepak Liga Perdana Inggeris (EPL) Manchester United, Liverpool, Chelsea, Tottenham, Manchester City dan Arsenal.

“Setiap jersi itu dijual pada harga RM40 kepada pelanggan warga tempatan, manakala harganya meningkat kepada RM60 untuk pelancong asing,” katanya.

Dia berkata, setiap helai jersi itu dibeli sindiket dari pembekal di luar negara dengan anggaran kos sekitar RM15 hingga RM20 sehelai.


PEGAWAI KPDNHEP merampas jersi tiruan yang dijual berleluasa di Jalan Petaling.

“Besar kemungkinan jersi bola sepak tiruan ini dicetak di China berikutan kos lebih murah sebelum diseludup masuk ke negara ini,” katanya.

Sementara itu Timbalan Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Putrajaya, Rosli Ahmad berkata, hasil operasi dilakukan itu, pegawainya berjaya menahan tiga jurujual warga Myanmar dan Bangladesh dalam serbuan itu.

Menurutnya, dalam serbuan pertama, pihaknya merampas 774 unit jersi dan pakaian tiruan menggunakan jenama terkemuka Nike, Puma, Balenciaga, Levis dan Gucci.

“Operasi kedua pula membabitkan tangkapan seorang lelaki Bangladesh sebelum pegawai KPDNHEP merampas 300 jersi tiruan jenama Puma dan Nike.

“Semua rampasan pakaian tiruan itu dianggarkan bernilai lebih RM21,000. Semua barangan itu disita dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan baju jersi bola sepak pasukan bola sepak Liga Perdana Inggeris (EPL) berharga lebih RM300 sebaliknya diciplak dan dijual pada harga semurah RM30 sehelai di pasaran tempatan.

Liga Perdana Inggeris 2019/2020 yang baru bermula diambil kesempatan peniaga untuk memasarkan jersi tiruan kepada orang ramai secara terbuka.

Tinjauan penulis di sekitar lokasi pelancongan Jalan Petaling di sini, mendapati lebih 15 premis dikesan menjual jersi bola sepak EPL cetak rompak pada waktu siang d an malam.

Selain itu terdapat juga jersi bola sepak bagi pasukan Sepanyol seperti Barcelona dan Real Madrid selain pasukan liga Jerman seperti Bayern Munich serta Paris Saint-Germain dari liga Perancis.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 5:30 AM