BARANG yang diletakkan di hadapan rumah kelihatan berkurangan berbanding sebelum ini. FOTO Adzlan Sidek
Hasbi Sidek
mohd.hasbi@hmetro.com.my


TIDAK banyak perubahan berlaku di rumah milik seorang lelaki yang mengumpul barangan terbuang di Jalan Melati 5, Taman Dusun Setia, meskipun sudah dikenakan tindakan oleh Majlis Perbandaran Seremban (MPS).

Bagaimanapun, barang yang disusun di atas bumbung sudah diturunkan manakala barang yang diletakkan di hadapan rumah kelihatan berkurangan berbanding sebelum ini.

Tinjauan Harian Metro mendapati barangan seperti tong plastik, perabot terbuang, besi buruk dan kotak masih ada di hadapan rumah berkenaan.

Difahamkan, lelaki berkenaan memunggah beberapa barang terpakai berkenaan sejak kelmarin menggunakan lori.

Penduduk, Sabariah Sariman, 69, berkata, dia sedikit lega apabila lelaki berkenaan mula mengalihkan sebahagian timbunan barangan di rumah itu.


LAPORAN Harian Metro 16 September lalu.

“Saya hanya tinggal berdua bersama suami yang sudah uzur di rumah ini. Saya khuatir sekiranya berlaku apa-apa yang tidak diingini apabila pelbagai barang buruk dilonggokkan di dalam dan di luar rumah itu.

“Tilam buruk yang sudah lama diletakkan di hadapan rumah saya juga sudah dialihkan. Namun, saya tidak pasti ke mana semua barang berkenaan diletakkan sejurus ia dialih.

“Saya berharap lelaki itu akan terus mengurangkan barang yang dikumpulkannya. Saya tidak kisah jika itu cara dia mencari rezeki, namun dia perlu memikirkan situasi yang dihadapi jiran terutama yang berada bersebelahan rumahnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 5:00 AM