Kerajaan Melaka mengumumkan tiga pelan untuk menangani isu kekurangan air di negeri itu. FOTO Nazri Abu Bakar
Fairuz Zaidan
fairuzaidan@nstp.com.my


KERAJAAN Melaka melancarkan pelan strategi jangka masa pendek, sederhana serta panjang bagi menangani segera isu kekurangan bekalan air di negeri itu.

Ketua Menteri Adly Zahari berkata, melalui pelan jangka pendek pihaknya akan terus mencari sumber air kolam takungan air termasuk lombong terbiar selain memanfaatkan perjanjian air dari negeri jiran menerusi bekalan air mentah 270 juta liter air sehari dari Sungai Gersik, Johor serta turut membeli bekalan air bersih dari Negeri Sembilan.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga sudah memuktamadkan tender dijangka 24 Oktober ini bagi projek Tasik Air Biru di Chinchin, Jasin bernilai RM35 juta yang mana ia bakal menyelesaikan pelan jangka sederhana bekalan air yang dijangka mampu disiapkan seawal tahun depan.

“Menerusi projek Tasik Air Biru ini, kita jangka 200 juta liter air dapat dipam ke Empangan Durian Tunggal.

“Bagi pelan jangka panjang, kerajaan negeri sedang menunggu kelulusan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Tanah, Air dan Sumber Asli bagi projek Empangan Sungai Jernih di Alor Gajah bernilai RM270 juta sebelum tender projek dibuka hujung tahun ini.

“Kita jangka paling awal projek Empangan Sungai Jernih ini dapat dimulakan pertengahan tahun depan.

“Di peringkat kerajaan negeri kita sudah memuktamadkan proses pengambilan tanah termasuk urusan sempadan dan mengharapkan kementerian dapat mempercepatkan proses pembinaan Empangan Sungai Jernih,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat sempena Sambutan Hari Pahlawan 2019 di Masjid Al Syuhadah, Kem Terendak, Sungai Udang malam ini.

Pada majlis itu, Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil turut mengimamkan solat berjemaah serta solat sunat yang dihadiri kira-kira 800 jemaah.

Mengulas lanjut, Adly berkata, kerajaan negeri juga komited untuk menambah baik model pengurusan air negeri itu pada masa depan memandangkan sistem sedia ada dilihat banyak bergantung kepada taburan hujan.

“Sepatutnya ketika musim hujan dan banjir di Melaka, air itu kita dapat manfaatkan untuk memenuhi kawasan tadahan air serta empangan.

“Namun model sedia ada dilihat tidak dapat memanfaatkan sumber hujan untuk dialirkan ke empangan.

“Kita mahu melakukan penambahbaikan terutama di kawasan tadahan air di Gangsa supaya bila musim banjir ia dapat dialirkan ke empangan sekali gus menyelesaikan masalah kekurangan air pada masa depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 12:02 AM