Remaja yang berjaya diselamatkan nelayan manakala rakannya dikhuatiri lemas. FOTO Ihsan JBPM
Nur Izzati Mohamad
am@hmetro.com.my


LELAKI berusia 22 tahun dikhuatiri lemas ketika mencari kepah berhampiran Pasar Bisik, Pantai Kuala Muda, Penaga, Kepala Batas hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan pada 6.03 petang memaklumkan berhubung insiden itu.

Katanya, maklumat awal memaklumkan dua lelaki itu termasuk remaja berusia 13 tahun mencari kepah berhampiran pantai berkenaan sebelum mereka dihanyutkan ke dalam laut.

“Dalam kejadian itu, pelajar tingkatan satu terbabit berjaya diselamatkan nelayan manakala rakannya dikhuatiri lemas.

“Kerja mencari dan menyelamat (SAR) mangsa kini dilakukan dengan dibantu nelayan serta penduduk,” katanya.

Menurutnya, anggota dari unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Perda turut terbabit dalam operasi SAR berkenaan.

Sebuah Pos Kawalan Bomba (PKB) dibuka di lokasi bagi memantau operasi yang dijalankan.

Mangsa yang dikhuatiri lemas itu dikenali Mohamed Zulfadhli Mohamed Johari.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 10:18 PM