AMIRUDDIN bersama Dr Yacob (dua dari kiri) merasmikan NAPSAC Ke- 29. FOTO SYAMSI SUHAIMI
Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my


PEMBAYARAN royalti minyak oleh kerajaan Pusat kepada Kelantan akan dilakukan apabila tiba masanya.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah berkata, pihaknya bertanggungjawab menguruskan pendapatan dan perbelanjaan negara dan akan laksanakan pembayaran sebaik keputusan dibuat.

“Kita ada pengurusan aliran tunai, mungkin tidak bayar bulan ini akan bayar bulan depan berdasarkan aliran tunai yang ada. Apa saja keputusan dibuat kabinet dan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan akan akur dan laksanakan.

“Ini bermakna, apabila tiba masa dan ketikanya, kita akan buat pembayaran royalti berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Akauntan Sektor Awam Kebangsaan Ke-29 di Kota Bharu, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Akauntan Negara (Operasi), Dr Yacob Mustafa dan Timbalan Akauntan Negara (Korporat), Datuk Zamimi Awang.

Ditanya sama ada kabinet atau kementerian lain sudah membuat keputusan mengenai pembayaran royalti minyak kepada Kelantan, Amiruddin berkata, pihaknya tiada mempunyai maklumat mengenai perkara itu.

“Bila ada tempoh yang perlu dibayar, kita akan laksanakan. Misalnya, pembayaran pengurusan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) yang kita buat beberapa kali dalam setahun...apabila tiba masanya, kita akan bayarlah,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, wang royalti minyak Kelantan ‘tersangkut’ di Kementerian Kewangan biarpun sudah mendapat maklum balas positif pemimpin kerajaan termasuk Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 9:59 PM