Ibrahim Isa
ibrahim@hmetro.com.my


LEBIH 200 pengunjung dan pekerja di sebuah pusat beli belah di Tebrau, Johor Bahru gempar apabila perkakas pameran di kawasan seluas 2.7 meter persegi terbakar hari ini.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Bahru, Haizrul Rahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.25 petang sebelum dua anggota dengan sebuah jentera dikejarkan ke lokasi.

Katanya, sebaik tiba didapati kebakaran berlaku membabitkan perkakas pameran di kawasan seluas 2.7 meter persegi.

“Bagaimanapun, api sudah dipadamkan orang awam menggunakan aliran ‘hose reel’ dan alat pemadam api.

“Tiada kecederaan dilaporkan dan punca kejadian sedang disiasat,” katanya.


Keadaan ruang pameran yang musnah terbakar hari ini. FOTO Ihsan JBPM

Sementara itu, ramai pengguna media sosial memuat naik kejadian berkenaan dan meminta pengunjung serta pekerja di dalam pusat beli belah itu supaya berhati-hati.

Kejadian dipercayai berlaku di ruang legar tingkat bawah pusat beli belah berkenaan sebelum orang ramai memadamkan kebakaran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 9:27 PM
Kebakaran di ruang legar tingkat bawah pusat beli belah di Tebrau hari ini.