KHADIJAH (kanan) bersama suaminya menjemur asam gelugur di rumah mereka di Kampung Jenereh Bongkok, Pulai Chondong. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Hazira Ahmad Zaidi
am@hmetro.com.my


“DENGAN membuat dan menjual asam gelugur inilah makcik dapat membesarkan sembilan anak,” kata warga emas Khadijah Ibrahim.

Khadijah, 72, berkata sejak berusia belasan tahun lagi, dia sudah belajar cara memproses asam gelugur daripada arwah ibunya, Siti Aminah Taib dan kini meneruskan warisan berkenaan bersama suaminya, Daud Merah, 73.

Katanya, pendapatan bulanan diperoleh tidak menentu kerana bergantung kepada permintaan penduduk setempat yang mahu membeli asam keping mereka.

“Buah gelugur sama juga seperti durian, rambutan dan duku yang diperoleh mengikut musim.

“Apabila tiba musimnya, saya dan suami akan memproses asam gelugur setiap hari dengan mengutip buah yang gugur daripada pokok di belakang rumah. Kemudian buah ini dipotong nipis sebelum direndam dalam larutan air garam supaya tahan lama.

“Selepas asam gelugur dipotong, kami akan menyusun dan menjemurnya antara dua atau tiga hari bergantung kepada keadaan cuaca kerana mahu memastikan benar-benar kering,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jenereh Bongkok, Pulai Chondong, Machang, hari ini.

Katanya, asam keping adalah perencah masakan tradisional paling digemari suri rumah sejak dari dulu kerana rasanya yang asli dan diperlukan untuk pelbagai jenis masakan seperti ikan singgang.

“Biarpun perisa makanan tradisi ini sukar diperoleh, namun ia tetap menjadi pilihan kaum ibu kerana asam ini lebih menyelerakan dalam masakan tertentu jika dibandingkan dengan perisa lain. Saya menjualnya dengan harga RM6 untuk 500 gram.

“Kebanyakan orang zaman sekarang kurang berminat mengusahakan pembuatan asam keping disebabkan pendapatannya tidak lumayan,” katanya.

Khadijah berkata, walaupun semua anak-anaknya sudah besar, namun dia dan suami tidak mahu menyusahkan mereka kerana masing-masing mempunyai tanggungjawab terhadap keluarga.

“Pada masa sama, saya dan suami juga tidak boleh duduk bersahaja tanpa melakukan kerja.

“Selagi ada kudrat, kami akan terus mengusahakan pembuatan asam keping ini kerana kebanyakan pelanggan sudah lama mengenali kami,” katanya yang mengusahakan pembuatan asam keping sejak lebih 40 tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 9:25 PM