Penutup hidung dan mulut adalah barang terkawal dan tindakan menaikkan harga boleh diambil tindakan. FOTO Salhani Ibrahim
Idris Musa
idris@hmetro.com.my


TINDAKAN tegas akan diambil terhadap pihak yang mengambil kesempatan fenomena jerebu dengan menaikkan harga penutup hidung dan mulut secara tidak munasabah.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tindakan tegas itu berdasarkan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Sebagai peringatan kepada peniaga, penutup hidung dan mulut adalah barang terkawal yang mana harga maksimum ditetapkan untuk lima jenis topeng muka bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lima jenis penutup hidung dan mulut dan harga kawalan itu membabitkan topeng muka (pembedahan atau perubatan) satu lapisan (gelung telinga), pada harga borong RM5 sekotak dan harga runcit RM7 sekotak.

penutup hidung dan mulut (pembedahan atau perubatan) dua lapisan (gelung telinga), pada harga borong RM8 sekotak dan harga runcit RM10 sekotak manakala seunit 20 sen.

Seterusnya penutup hidung dan mulut (pembedahan atau perubatan) tiga lapisan (gelung telinga atau gelung kepala), pada harga borong RM25 sekotak dan harga runcit 80 sen seunit.

Penutup hidung dan mulut (pembedahan atau perubatan) tiga lapisan (ikatan pada kepala), pada harga borong RM30 sekotak dan harga runcit 80 sen seunit.

Penutup hidung dan mulut (pembedahan atau perubatan) N95, dijual pada harga borong RM100 sekotak dan harga runcit RM6 seunit.

Saifuddin berkata, pelanggaran bawah peruntukan akta berkenaan bagi semua jenis penutup hidung dan mulut dinyatakan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Perlu diingatkan, bagi penutup hidung dan mulut selain lima jenis yang ditetapkan harga maksimum seperti di atas, kementerian masih ada kuasa mengambil tindakan bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (bagi sebarang perlakuan menaikkan harga borong atau runcit topeng muka secara tidak munasabah),” katanya.

Beliau berkata, dari 12 September lalu hingga hari ini, 1,115 premis perniagaan menjual penutup hidung dan mulut di seluruh negara diperiksa.

Katanya, daripada jumlah itu, tiga amaran dikeluarkan dan satu tindakan diambil dengan jumlah rampasan RM30 dan kompaun RM200 dikenakan.

“Kementerian akan meneruskan pemantauan sepanjang musim jerebu dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang mengambil kesempatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 9:06 PM